Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Mewah Macam Hotel, Lelaki Kongsi Pengalaman Eksklusif Dalam Gerabak "Premium" KTM
Menjelang ketibaan Hari Raya Aidilfitri, suasana di seluruh negara mula terasa berbeza.
Jalan raya semakin sibuk, stesen bas dan kereta api dipenuhi orang ramai, manakala lapangan terbang juga tidak putus-putus dengan kehadiran penumpang yang mahu pulang ke kampung halaman.
Ada yang memilih untuk memandu sendiri berjam-jam lamanya di lebuh raya, bahkan ada juga yang menaiki kapal terbang bagi menjimatkan masa.
Manakala sebahagian lagi selesa menggunakan perkhidmatan kereta api atau bas ekspres untuk menuju ke destinasi masing-masing.
Tidak semua menyedari Keretapi Tanah Melayu (KTM) kini terdapat gerabak "premium" yang menawarkan pengalaman perjalanan jarak jauh yang lebih eksklusif serta selesa.
Menerusi hantaran @ziafmihar di Threads, beliau berkongsi mengenai kewujudan gerabak khas KTM yang jarang diketahui oleh orang ramai.

Beliau turut menjelaskan gerabak “premium” tersebut perlu ditempah lebih awal.
Dalam pada itu, beliau juga menunjukkan keadaan dalaman gerabak tersebut yang kelihatan moden, luas dan lengkap dengan pelbagai kemudahan.
Gerabak itu dilengkapi tiga bilik, dua bilik air serta ruang makan yang selesa untuk kegunaan penumpang.

Malah, terdapat juga ruang hiburan yang menyediakan kemudahan seperti karaoke, selain sebuah pantri yang besar.
Bilik yang disediakan digambarkan sangat luas dan selesa, manakala tandasnya pula kelihatan cantik serta bersih, seakan fasiliti yang terdapat di hotel.
Menurut @ziafmihar, untuk menikmati kemudahan berkenaan, penumpang perlu membuat tempahan lebih awal kerana ia bukan gerabak biasa yang tersedia dalam setiap perjalanan.

Beliau turut mendakwa bahawa penumpang boleh memilih perjalanan tertentu yang menawarkan gerabak "Saloon Coach" ini, sekali gus menjadikannya sesuai untuk perjalanan berkumpulan, acara khas atau bagi mereka yang mahukan pengalaman perjalanan yang lebih privasi.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna Threads tidak tidak menyangka perkhidmatan seumpama itu disediakan oleh KTM.
Ia sekali gus membuka perspektif baharu mengenai pengalaman perjalanan kereta api di Malaysia.