Gergasi cip memori Amerika Syarikat, Micron Technology pada Jumaat memaklumkan bahawa pekerjanya di Taiwan akan menerima ganjaran bersamaan sehingga lima tahun lapan bulan gaji.
Pengumuman itu dibuat susulan ancaman kesatuan sekerja untuk melancarkan mogok sekiranya syarikat berkenaan tidak merombak sistem bonusnya.
Syarikat cip global termasuk Micron menjadi antara penerima manfaat utama daripada lonjakan permintaan terhadap teknologi kecerdasan buatan (AI).
Namun, ketika keuntungan syarikat meningkat mendadak, ramai pekerja kini menuntut bahagian yang lebih besar daripada keuntungan tersebut.
“Anggota pasukan buruh langsung di Taiwan akan menerima jumlah ganjaran bersamaan 35 hingga 68 bulan gaji, dengan pampasan tunai minimum sebanyak AS$53,700 (RM218,575) bagi tahun fiskal 2026.
“Dengan kira-kira 15,000 anggota pasukan dan pelaburan melebihi NT$1.6 trilion di Taiwan, Micron terus menyokong tenaga kerja, inovasi dan keupayaan pembuatan yang memperkukuh kedudukan Taiwan sebagai peneraju semikonduktor global,” menurut Micron dalam satu kenyataan.
Micron yang menghasilkan kira-kira 50 hingga 60 peratus cipnya di Taiwan kini sedang mengadakan rundingan dengan dua kesatuan sekerja yang mewakili hampir 12,000 pekerja di kilangnya di Taoyuan dan Taichung.
Kesatuan berkenaan menuntut bonus sekali bayar bersamaan 83 bulan gaji, selain mewujudkan sistem kekal yang memperuntukkan 15 peratus daripada keuntungan operasi syarikat untuk bonus pekerja.
Bonus itu turut diminta supaya diagihkan setiap suku tahun berbanding secara tahunan.
Tuntutan berkenaan dibuat susulan pertikaian buruh baru-baru ini di Korea Selatan apabila Samsung Electronics berjaya mengelakkan mogok selepas bersetuju dengan perjanjian untuk mengagihkan bonus bersamaan 10.5 peratus daripada keuntungan operasi kepada pekerja bahagian semikonduktornya.
Micron Technology Umum Bonus
Dalam satu kenyataan, kesatuan yang mewakili pekerja di kilang Micron Taoyuan pada Jumaat menolak cadangan syarikat itu dengan mendakwa Micron telah mengelak daripada membincangkan sistem bonus.
“Kami mahukan satu sistem yang membolehkan keuntungan dikongsi secara munasabah apabila syarikat mencatat keuntungan, selain menyediakan perlindungan secara institusi ketika berlakunya kitaran turun naik ekonomi.
“Sekiranya syarikat gagal memberikan maklum balas terhadap tuntutan ini, kesatuan akan terus bergerak ke arah tindakan mogok,” menurut kesatuan itu.

Kesatuan berkenaan sebelum ini memaklumkan kepada AFP bahawa sekiranya rundingan dengan Micron yang dimediasi kerajaan sejak awal September gagal, pekerja akan diminta mengundi sama ada mahu melancarkan mogok.
Menurut kesatuan, tinjauan dalaman sebelum ini menunjukkan kira-kira 80 peratus ahlinya menyatakan sokongan terhadap tindakan mogok.
Untuk pengetahuan, Micron mencatatkan pendapatan sebanyak AS$41.5 bilion bagi suku ketiga tahun fiskal 2026.
