Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Kementerian Pertahanan (MINDEF) memperkukuh agenda pembangunan modal insan keluarga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) apabila menyalurkan hampir setengah juta ringgit bagi membantu pendidikan anak-anak warga pertahanan di seluruh negara.
Menerusi Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan (AKP) 2026 yang berlangsung di Dewan Perkasa, Wisma Perwira ATM hari ini, sejumlah RM464,400 diperuntukkan kepada 605 anak warga MINDEF. Ini sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian akademik serta sokongan kepada mereka yang akan melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Inisiatif yang disalurkan melalui Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) itu mencerminkan komitmen berterusan MINDEF dalam memastikan kebajikan dan masa depan pendidikan keluarga ATM terus diberi perhatian. Khususnya ketika ramai anggota sedang melaksanakan tanggungjawab mempertahankan kedaulatan negara.
Daripada jumlah keseluruhan peruntukan tersebut, RM166,000 disalurkan kepada 159 penerima menerusi bantuan melanjutkan pengajian ke universiti awam tempatan dan institusi pengajian di luar negara.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan MINDEF dalam menjaga kebajikan keluarga warga pertahanan. Ini sekali gus membantu anak-anak mereka melanjutkan pengajian serta mencapai kecemerlangan pendidikan.

Dalam masa sama, seramai 446 pelajar cemerlang menerima Insentif Akademik Anugerah Kecemerlangan Pendidikan SPM melibatkan peruntukan sebanyak RM298,400.
Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan MINDEF dalam memperkukuh kebajikan warga kerja pertahanan, khususnya dari aspek pendidikan dan masa depan keluarga warga MINDEF.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata jumlah penerima anugerah tahun ini meningkat berbanding 383 pelajar pada tahun lepas.

Di sebalik kejayaan penerima AKP 2026, terdapat pelbagai inisiatif sokongan telah dilaksanakan bagi membantu pelajar mencapai keputusan cemerlang.
Antara inisiatif yang diperkenalkan ialah Program e-Perkasa SPM dan Program Sentuhan Elit SPM yang beri tumpuan kepada persediaan akademik pelajar.
Menurut beliau lagi, MINDEF baru-baru ini turut melancarkan Program Pendidikan STEM dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM) di beberapa sekolah dalam kem tentera di wilayah utara.
Sementara itu, bagi penerima anugerah dan bantuan, inisiatif ini disifatkan sebagai suntikan semangat untuk mereka terus berusaha lebih gigih agar berjaya dalam bidang akademik.
Menurut Harith Irfan Bin Hairul Nizam, penerima Anugerah Kecemerlangan Pendidikan SPM, meluahkan rasa terima kasih terhadap pihak MINDEF dan Yayasan LTAT kerana menyediakan insentif pendidikan sebegini.

“Dengan bantuan yang diberikan, saya akan gunakan untuk membeli kelengkapan asrama dan barang-barang keperluan untuk urusan di universiti”
Menurut Harith, bantuan seperti ini bukan sahaja membantu dari segi kewangan malah ia menjadi motivasi kepada yang lain untuk terus berusaha lebih gigih bagi mengejar kecemerlangan akademik.
Harith bakal menyambung pengajiannya di Universiti Pertahanan Negara Malaysia (UPNM) dalam jurusan Hubungan Antarabangsa.
Bagi Muaz Nazmi Bin Monarizzal, penerima Bantuan Pengajian Universiti Awam Tempatan, yang juga pelajar Institut Pendidikan Guru di Tawau berkata bantuan yang diterima sedikit sebanyak dapat membantu kos belajar antaranya tiket penerbangan ke Tawau.

Katanya, “Kepada pihak MINDEF dan Yayasan LTAT, terima kasih kerana telah berikan bantuan kepada saya dan saya harap sumbangan ini akan berterusan untuk membantu pelajar-pelajar universiti awam dan luar negara bagi meringakan beban mereka.
Secara keseluruhannya, inisiatif ini bukan saja bantu meringankan beban keluarga warga ATM, tapi menjadi bukti komitmen berterusan MINDEF dalam memastikan kebajikan dan masa depan anak-anak warga pertahanan lebih terjaga.