Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

MINDEF Sasar Kutip Rm5 Juta Bagi Kempen Tabung Pahlawan 2026/2027

MINDEF
Kredit: Bernama

KUALA LUMPUR, 12 Okt (Bernama) -- Kementerian Pertahanan (MINDEF) menyasarkan kutipan RM5 juta bagi Kempen Tabung Pahlawan 2026/2027 sebagai usaha untuk memperkasakan kesejahteraan serta kebajikan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata beliau yakin sasaran itu mampu dicapai berdasarkan sokongan padu masyarakat serta sektor korporat dalam kempen kutipan sebelum ini.

Beliau berkata rekod kutipan menunjukkan trend peningkatan positif, iaitu RM1.306 juta bagi sesi 2023/2024, RM2.19 juta (2024/2025) dan melonjak kepada RM3.351 juta pada kempen 2025/2026.

“Kumpulan sasar utama tabung ini ialah anggota veteran dan tanggungan yang memerlukan, terutamanya veteran terlantar yang uzur serta berpendapatan rendah.

“Bantuan ini merangkumi keperluan asas yang tidak disediakan kerajaan seperti susu khas, lampin dan peralatan pakai buang,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kempen Tabung Pahlawan 2026/2027 di sini hari ini.

Turut hadir Penaung Kempen Tabung Pahlawan yang juga isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman, Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Dr Zulhelmy Ithnain dan Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan Aris.

Mohamed Khaled berkata penglibatan aktif masyarakat dan syarikat perniagaan dalam menyumbang kepada tabung itu mencerminkan penghargaan tidak berbelah bahagi terhadap jasa serta pengorbanan perwira negara.

Katanya, semua sumbangan syarikat mahupun individu layak mendapat pelepasan cukai pendapatan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan atas peruntukan sebanyak RM304 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM dalam Belanjawan 2027 bagi memastikan kesinambungan kebajikan veteran terus terjamin.

“Setiap sumbangan amat bernilai, beri banyak tanda mampu, beri sedikit tanda ingat, memberi kesan besar kepada moral anggota, veteran dan keluarga mereka,” katanya.

Sementara itu, Dr Wan Azizah menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk menyokong kempen “Satu Rakyat, Satu Ringgit” demi membantu golongan veteran yang memerlukan pembiayaan rawatan kesihatan serta sara hidup.

“Bila terlantar atau sakit, mereka perlukan pembiayaan yang banyak untuk menjaga kesihatan, terutama jika hilang keupayaan untuk mencari nafkah sedangkan ada keluarga yang perlu ditanggung.

“Atas jasa yang telah dicurahkan kepada negara, mereka sepatutnya mendapat ganjaran sebaik mungkin. Sumbangan ini menunjukkan keprihatinan kita, dan kita pastikan setiap sen diuruskan dengan integriti serta menepati janji,” katanya.

Pada majlis berkenaan, sebanyak 60 veteran cedera perang menerima sumbangan tunai RM500 seorang, manakala bantuan kepada penerima lain disalurkan secara terus ke akaun masing-masing.

Ketika ini, kira-kira 200 veteran cedera perang berada di bawah pemantauan dan seliaan berterusan JHEV ATM.

-- BERNAMA

Intipati
  • MINDEF menyasarkan kutipan RM5 juta bagi Kempen Tabung Pahlawan 2026/2027.
  • Tabung itu membantu veteran ATM dan tanggungan, terutama yang uzur serta berpendapatan rendah.
  • Sebanyak 60 veteran cedera perang menerima sumbangan tunai RM500 seorang pada majlis pelancaran.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan