Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Misi Selesai, Lelaki Habiskan 6 Tahun Cuba Semua 212 “Parking” Di Pasaraya, Semata-mata Nak Tahu Mana Yang Terbaik

Nur Adnin
Gambar: Kent Online

Pelik, tapi memang betul-betul berlaku. Nak kata buang masa, hasil yang dia dapat memang memuaskan hati. Dia sanggup penat tapi tahu apa yang terbaik untuk dia sendiri. Tapi masalahnya bukan sekejap, makan tahun.

Itulah yang nak diceritakan tentang seorang lelaki ni apabila dia sanggup ‘buang masa’ selama enam tahun hanya semata-mata nak tahu kotak parkir mana yang paling sedap. Hairan kan? Apa cerita ni?

Cuba satu persatu petak parkir selama 6 tahun nak tahu mana paling baik

Seorang lelaki di Bromley, England telah menghabiskan masa selama enam tahun apabila dia mencuba kesemua petak parkir kereta di sebuah pasar raya. Tujuannya hanya satu, nak tahu mana parkir terbaik.

Lelaki berkenaan, Gareth Wild dilapor ‘mengamalkan’ perkara itu pada setiap minggu. Setiap kali datang ke Pasar Raya Sainsbury untuk membeli barang keperluan, dia mesti akan mencuba satu persatu petak parkir di sana.

“Setiap minggu pasti saya akan datang ke sini dengan keluarga, di mana pasar raya ini telah kami biasa kunjungi sejak 16 tahun lalu. Namun sampailah masa kira-kira enam tahun lalu, saya terfikir, wow saya boleh cuba letak kereta di semua petak parkir di sini dan ada masa yang baik untuk bershopping,” katanya, memetik Kent Online.

Berdasarkan kesemua petak parkir yang ada di situ, Gareth cuba mencari mana-mana petak yang sangat memudahkan serta mampu menjimatkan masa mengikut keadaan. Sebab itulah dia cuba satu demi satu supaya boleh ‘rasa’ kesemuanya.

Gambar: Kent Online

Misi ini besar. Jadi untuk mengelak daripada sekadar datang ke sana setiap kali hanya untuk parkir semata-mata kemudian balik, dia pun bawalah anaknya bersama untuk pergi membeli barang.

Selain itu, bukan selalu petak parkir yang dia sasarkan itu tersedia kosong. Kadang-kadang sementara menunggu pemilik kereta terdahulu yang ada di situ beredar, Gareth terpaksa ‘berkeliaran’ sekitar situ dulu sampai anak-anaknya ‘fed up’.

“Anak-anak saya kecil lagi, berusia dua dan empat tahun. Mereka jenis tidak sabar. Kalaulah saya sekadar menunggu saja dalam kereta, mereka akan rimas. Kadang-kadang terpaksa parkir saja di mana-mana petak yang saya dapat dan ‘give up’,” katanya.

Gambar: Kent Online

Selepas enam tahun, akhirnya dia pun selesai merasai kesemua 212 petak parkir di pasar raya tersebut. Kemudian, dia meneruskan misinya dengan melabelkan petak-petak tersebut dengan warna mengikut kepuasan hati.

Hasil daripada eksperimen panjang ini, Gareth melabelkan jenis-jenis petak parkir dengan tiga kategori, iaitu ‘God Tier’ (paling terbaik), ‘Useful’ (bolehlah membantu) dan ‘Avoid’ (kalau boleh elakkan).

Jika lihat rajah di atas, jelaslah bahawa petak parkir paling memuaskan hati ialah yang berdekatan dengan pintu utama pasar raya. Memanglah begitu kan, dekat, senang nak berjalan kaki, tidak makan masa dan tidak penat.

Manakala yang agak membantu pada kategori ‘useful’ pula dilihat berada di zon tengah dan zon selekoh. Namun petak parkir yang dia tidak cuba lagi pula kebanyakannya di ‘row’ paling belakang, jauh dan mungkin memenatkan.

Jadi, itulah eksperimen yang dibuat lelaki ini. Enam tahun berulang-alik di tempat sama, hanya nak tahu mana petak parkir terbaik. Itu sahaja. Penat, tapi mungkin sangat berbaloi…pada dialah.

Sumber: Kent Online