Bekas pemain antarabangsa Jepun, Kazuyoshi Miura, mencipta sejarah apabila menjadi penjaring tertua dalam saingan Piala Maharaja Jepun pada usia 59 tahun, lima bulan dan 24 hari, lapor Kyodo News.
Miura jadi penjaring tertua Piala Maharaja Jepun
Miura, yang lebih dikenali sebagai “King Kazu”, menjaringkan dua gol menerusi sepakan penalti ketika membantu kelab Liga J3, Fukushima United, membelasah pasukan bukan profesional Oyama Soccer Club 7-0 pada pusingan pertama kejohanan itu di Fukushima, timur laut Jepun, pada Rabu.
“Saya tidak boleh menjaringkan gol jika tidak bermain dalam perlawanan. Saya akan terus bekerja keras setiap hari supaya dapat diturunkan,” katanya selepas perlawanan.
Miura mencipta rekod baharu itu pada minit ke-12, mengatasi rekod bekas pemain tengah Jepun, Shinji Ono, yang menjaringkan gol dalam kejohanan berkenaan pada usia 41 tahun pada 2021, menurut Persatuan Bola Sepak Jepun.
Beliau kemudian menyempurnakan sepakan penalti keduanya pada minit ke-55 sebelum dikeluarkan tiga minit kemudian.
“Saya sentiasa berlatih mengambil sepakan penalti, jadi saya gembira latihan itu membuahkan hasil,” katanya.
Dilahirkan di Shizuoka, Miura merupakan antara tonggak penting dalam perkembangan populariti bola sepak Jepun selepas J.League diperkenalkan pada awal 1990-an.
Beliau turut mencipta sejarah sebagai pemain Jepun pertama beraksi di Serie A Itali ketika menyertai Genoa bagi musim 1994-95, selain pernah mewakili beberapa kelab di Jepun dan negara lain sepanjang kariernya.

