Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Model Dua Guru Mengajar Serentak, Felo NGO Kongsi Pengalaman Positif Sebenar

Azizah Najib
dua guru mengajar serentak
Kredit: Izzat Dahelan
Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal

Model Dua Guru Mengajar Serentak, Felo NGO Kongsi Pengalaman Positif Sebenar

Baru-baru ini, kita dimaklumkan dengan pendekatan baharu yang bakal diperkenal pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) iaitu model pengajaran berpasukan (co-teaching).

Bahasa mudahnya, model ini melibatkan dua orang guru mengajar satu mata pelajaran di dalam satu kelas secara serentak.

Menerusi kenyataan rasmi KPM, model ini bakal bermula pada Sesi Akademik 2027 nanti.

Seusai pengumuman tersebut diwar-warkan, timbul pelbagai pertanyaan dalam kalangan warga maya berikutan ramai yang kurang maklum ataupun tidak pernah mendengar berkenaan model ini.

Bagi membuka mata masyarakat, seorang sukarelawan, Izzat Dahelan, tampil berkongsi pengalamannya yang pernah terlibat secara terus menggunakan model ini menerusi laman Facebook peribadinya.

“Saya merupakan alumni bagi Teaching Partner Pathway yang merupakan program oleh Teach For Malaysia bermula tahun 2022. Program ini memperkenalkan kaedah pengajaran co-teaching bersama co-teacher atau juga kami sebut sebagai rakan guru,” katanya.

Bagi membolehkan model ini berjalan, felo diperlukan. Felo merupakan individu yang mempunyai ciri-ciri pemimpin dan pendidik.

“Tidak terhad dalam dunia pendidikan, tetapi secara tidak langsung memberi impak kepada dinamika pendidikan,” jelasnya.

Setelah berjaya melalui fellowship selama dua tahun, tapisan akan dibuat. Felo yang melepasi penilaian dihantar ke sekolah terpilih untuk bergandingan dengan guru KPM dan dikenali sebagai guru hos.

“Felo dan guru hos akan mengajar secara bergandingan. Inilah program fellowship yang saya lalui selama dua tahun bermula tahun 2023 hingga 2025,” tambahnya lagi.

Pengalaman terlibat model co-teaching

Menurutnya, co-teaching bertujuan meningkatkan keberkesanan pengajaran, khususnya kelas dengan murid berkeperluan berbeza.

“Ia juga memberi sokongan individu tanpa memisahkan murid daripada rakan sekelas mereka,” jelas Izzat.

Mengupas sejarah bermulanya model co-teaching, Izzat memetik sejarah kelahiran model ini yang diperkenalkan oleh dua orang pakar bidang pendidikan khas, Dr Marilyn Friend dan Dr Lynne Cook sekitar 1970-an.

Difahamkan, model co-teaching mempunyai beberapa model iaitu:

  • Seorang mengajar, seorang memerhati

  • Seorang mengajar, seorang membantu

  • Pengajaran di stesen

  • Pengajaran selari

  • Pengajaran alternatif

  • Pengajaran berpasukan

“Pengalaman saya menjadi rakan guru (felo) kepada guru hos (guru KPM) dalam melaksanakan co-teaching merupakan perjalanan kami sama-sama belajar,” jelasnya.

Menerusi pengalaman ini, terdapat beberapa perkara ketara yang dapat dilihat, antaranya pada aspek pengurusan bilik darjah. Pendekatan co-teaching diakui amat membantu dalam hal ini.

“Apabila kita mempunyai dua guru dalam satu kelas, kita dapat bergantian melakukan kawalan bilik darjah. Misalnya, jika guru hos saya sedang mengajar di hadapan, saya akan berada dan berjalan di sekitar dalam kelas untuk memerhati dan melihat keadaan pelajar,” katanya.

Jika terdapat pelajar yang tidak beri perhatian, beliau selaku rakan guru akan meminta murid untuk kembali fokus pada pelajaran. Malah jika ada murid yang mengantuk, maklum balas akan terus disampaikan kepada guru hos supaya langkah proaktif dapat terus dilaksanakan.

“Kami terus melakukan tindakan mempercepatkan pembentangan untuk terus ke bahagian aktiviti agar pelajar dapat terlibat aktif,” jelasnya lanjut.

Baginya, model ini turut membantu dalam mewujudkan kelas yang lebih terkawal.

Murid keciciran ketika PdP dapat dielakkan

Selain itu, model ini juga memudahkan pengurusan pedagogi terbeza.

“Saya teringat sebuah kelas yang saya ajar dahulu, di mana ada beberapa pelajar yang kurang fasih membaca. Dan disitu saya mainkan peranan untuk tumpu kepada pelajar ini dengan memberikan sokongan yang lebih. Jadi, mereka tidaklah hanya duduk sahaja atau terpinga-pinga, mereka terlibat dalam pembelajaran,” kongsinya lagi.

Dengan cara ini, guru hos dapat memberikan tumpuan kepada pelajar lain.

Seterusnya dari segi penilaian dan pemerhatian. Model ini turut mempercepat proses penilaian dan pemerhatian kerana ia dapat dilakukan secara terus ketika PdP berlangsung.

“Kami akan berbincang berkaitan pemerhatian kami pada waktu lapang ketika menunggi kelas seterusnya bermula. Guru dapat perspektif yang berbeza serta membantu pertimbangan dan penilaiannya terhadap pelajar,” ulasnya lanjut.

Akhir sekali, perkara yang ingin didengari ialah berkaitan beban tugas.

Menurutnya, banyak perkara yang dilakukan bersama-sama seperti penyediaan bahan, persediaan kelas, pembahagian tugas dan lain-lain.

“Kalau guru hos saya sediakan perancangan, saya akan bantu untuk lakukan penyampaian perancangan tersebut kepada pelajar. Kika ada bahan-bahan yang dia perlukan untuk perancangan, saya akan bantu untuk sediakan. Jadi, kami sama-sama bertanggungjawab terhadap tugas tersebut,” tambahnya.

Biarpun begitu, masih ada cabaran yang dihadapi, antaranya apabila guru hos dan felo datang dari generasi yang berbeza. Namun, ia tidak menghalang kedua belah pihak untuk terus bergandingan demi masa depan murid.

“Pendekatan juga berbeza. Perlukan beberapa bulan juga untuk kami beradaptasi dan bergandingan dengan baik. Tapi, setelah itu, semuanya berlangsung dengan sangat mudah.

“Kami saling mengisi kekurangan antara satu sama lain dan begitu pula dengan kelebihan, saling memberi dan mengajar antara satu sama yang lain,” katanya mengakhiri perkongsian tersebut.

Sumber: Izzat Dahelan

BACA: KPM Bakal Perkenal Subjek Alam Dan Manusia Untuk Murid Tahap 1

BACA: KPM Umum Kalendar Akademik, Cuti Sekolah Tahun 2026

BACA: KPM Laksana Langkah Tambahan Tingkatkan Keselamatan Institusi Pendidikan, Tangani Isu Disiplin