MPC-IQPMA INDONESIA Perkukuh Kerjasama Strategik, Pacu Agenda Produktiviti & Kualiti Serantau
Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) menerima kunjungan hormat delegasi IQPMA (Indonesia Quality and Productivity Management Association) di Ibu Pejabat MPC, Kuala Lumpur, baru-baru ini, sekali gus memperkukuh hubungan kerjasama dua hala dalam bidang kualiti dan produktiviti menerusi perkongsian kepakaran, amalan terbaik serta pembangunan kapasiti yang memberi manfaat kepada organisasi dan industri di kedua-dua negara.
Pertemuan tersebut menjadi platform penting untuk memperkukuh hubungan sedia ada antara MPC dan IQPMA, dengan turut melibatkan PT Wahana Kendali Mutu (WKM) Indonesia selaku rakan strategik dalam menggerakkan aktiviti dan program peningkatan produktiviti di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Selain mempererat hubungan sedia ada, pertemuan ini turut meneroka peluang baharu bagi pelaksanaan program produktiviti secara bersama.
Perbincangan memberi tumpuan kepada peluang kerjasama dalam penganjuran International Quality and Productivity Convention (IQPC), di samping pertukaran pengetahuan dan kepakaran serta perkongsian amalan terbaik bagi menyokong peningkatan keupayaan, kualiti dan daya saing organisasi di rantau ini.
Delegasi IQPMA diketuai oleh Ketua Bahagian Hal Ehwal Antarabangsa IQPMA yang juga Pengarah PT WKM Indonesia, Ibu Damayanti, SE., MM. Pertemuan ini turut membuka ruang kepada kedua-dua pihak untuk berkongsi pengalaman serta meneroka kerjasama dalam pengiktirafan dan perkongsian amalan terbaik bagi memperkasa agenda kualiti dan produktiviti. Inisiatif ini berpotensi mewujudkan platform penanda aras yang mengetengahkan pencapaian organisasi berprestasi tinggi, di samping mempercepatkan penerapan amalan terbaik di Malaysia dan Indonesia.
Timbalan Ketua Pengarah MPC, Dr. Mazrina Mohamed Ibramsah berkata, hubungan yang lebih erat antara MPC dan IQPMA membuka peluang untuk memperluas perkongsian ilmu dan kepakaran, seterusnya menghasilkan inisiatif produktiviti yang memberi impak kepada organisasi dan industri di kedua-dua negara.
“MPC dan IQPMA mempunyai pengalaman serta kepakaran yang saling melengkapi. Menerusi perkongsian pengetahuan, amalan terbaik dan pembangunan kapasiti, kedua-dua pihak dapat meneroka inisiatif bersama yang lebih relevan dengan keperluan semasa organisasi dan industri di rantau ini,” katanya.
“Kerjasama ini turut mencerminkan komitmen kedua-dua pihak untuk terus memperkukuh agenda kualiti dan produktiviti menerusi pendekatan yang praktikal, berimpak dan berterusan, selaras dengan hasrat kedua-dua negara untuk meningkatkan daya saing serantau,” tambah beliau.
MPC komited untuk terus memperluas jaringan kerjasama antarabangsa melalui perkongsian ilmu, kepakaran dan pengalaman, termasuk bersama IQPMA dan PT WKM Indonesia, bagi memperkukuh ekosistem produktiviti serta menyokong peningkatan daya saing organisasi dan industri, khususnya di rantau ASEAN.
