Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

MrBeast Cecah 500 Juta "Subscriber" Di YouTube

mrbeast
Kredit: AFP

MrBeast Cecah 500 Juta "Subscriber" Di YouTube

Dalam era moden hari ini, nama MrBeast sememangnya tidak lagi asing bagi pengguna YouTube.

Walaupun kandungannya sering menarik golongan muda seperti Generasi Alpha yang membesar bersama YouTube, populariti MrBeast sebenarnya merentasi pelbagai peringkat umur.

Tidak hanya kanak-kanak dan remaja, malah ramai penonton dewasa turut mengikuti videonya kerana konsep yang kreatif, jalan cerita yang pantas serta nilai produksi yang setanding rancangan televisyen profesional.

Individu pertama raih 500 juta "subscriber"

Jimmy Donaldson yang lebih dikenali sebagai MrBeast sekali lagi mencipta sejarah apabila menjadi pencipta kandungan individu pertama di YouTube yang berjaya mencapai 500 juta pelanggan (subscriber).

MrBeast mula menjadi pencipta individu dengan jumlah pelanggan tertinggi di YouTube pada November 2022 sebelum muncul sebagai saluran paling banyak dilanggan di platform tersebut pada Jun 2024.

Antara kandungan yang melonjakkan popularitinya ialah video berjudul "$456,000 Squid Game In Real Life!" yang kini menghampiri satu bilion tontonan.

Video tersebut dianggap sebagai antara titik perubahan terbesar dalam perjalanan kerjayanya kerana membuktikan bagaimana idea kreatif berskala besar mampu menarik perhatian penonton di seluruh dunia.

Selain menghasilkan video dengan kos produksi yang tinggi, MrBeast turut terkenal menerusi penganjuran pertandingan melibatkan pencipta kandungan lain seperti "50 YouTubers Fight for $1,000,000" dan sekuelnya yang disiarkan secara langsung pada April 2026, "50 Streamers Fight for $1,000,000".

Kedua-dua projek tersebut mendapat perhatian ramai kerana menampilkan konsep unik yang menjadikan YouTube seakan-akan sebuah permainan berbilang pemain (multiplayer) berskala besar.

Pada masa sama, aktiviti kebajikan sentiasa menjadi sebahagian penting dalam misinya. Bagi meraikan pencapaian 20 juta pelanggan, MrBeast melancarkan kempen #TeamTrees yang berjaya mengumpulkan lebih AS$25 juta (kira-kira RM102 juta) untuk menanam lebih 25 juta pokok di seluruh dunia.

Beliau kemudian meneruskan usaha tersebut menerusi kempen #TeamSeas yang berjaya mengumpulkan lebih AS$30 juta (kira-kira RM122 juta) bagi membersihkan sampah di pantai, sungai dan lautan.

Pada tahun 2025, MrBeast bersama pencipta kandungan dan jurutera terkenal, Mark Rober, melancarkan pula kempen #TeamWater.

Kempen itu menghimpunkan pencipta kandungan YouTube dari 115 negara dan berjaya mengumpulkan AS$40 juta (kira-kira RM163 juta) untuk disalurkan kepada WaterAid bagi membantu menyediakan akses kepada bekalan air bersih di pelbagai komuniti yang memerlukan.