Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

MRSM Arau Borong Gelaran Di MYAERO Challenge 2026

MRSM ARAU
Kredit: Facebook MRSM Arau

MRSM Arau Borong Gelaran Di MYAERO Challenge 2026

Kontinjen Maktab Rendah Sains MARA Arau mencipta kejayaan membanggakan apabila muncul antara pasukan paling menyerlah dalam pertandingan MYAERO Challenge Kebangsaan 2026 yang berlangsung di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS), Serdang.

Kejayaan itu hadir selepas pasukan dari Perlis berkenaan berjaya menguasai beberapa kategori utama sepanjang pertandingan yang berlangsung selama tiga hari dan berakhir semalam.

Menerusi satu kenyataan di Facebook, pihak pengurusan MRSM Arau berkata pencapaian itu membuktikan komitmen tinggi serta semangat kerja berpasukan yang ditunjukkan para pelajar sepanjang kejohanan berlangsung.

Katanya, kejayaan tersebut diharap menjadi pemangkin untuk seluruh warga MRSM Arau terus melakar kecemerlangan dalam bidang STEM, inovasi dan teknologi.

“Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi kepada seluruh warga MRSM Arau untuk terus melakar kecemerlangan dalam bidang STEM, inovasi dan teknologi di peringkat lebih tinggi.

“Kami merakamkan penghargaan kepada semua peserta serta guru penasihat yang memberi sokongan padu tanpa jemu sepanjang pertandingan ini,” katanya.

Dalam pertandingan itu, pasukan MRSM Arau mendominasi kategori Aeroflight Master Precision Performance Glider dan Aeroflight Master Endurance Flight Glider.

Muhammad Faris Amsyar Abdul Manaf dan Adam Izz Zaquan Shahrizan muncul juara bagi kedua-dua kategori berkenaan di bawah bimbingan guru penasihat, Mohamad Sofian Hussain.

Menurut pihak pengurusan, kecemerlangan itu diteruskan oleh Wilda Nur Falisha Muhammad Munif dan Nur Dina Aisyah Adnan yang masing-masing meraih tempat keempat dalam kategori Precision Performance dan tempat ketiga bagi kategori Endurance Flight Glider.

Katanya, pencapaian tersebut hasil bimbingan guru penasihat, Nur Sakinah Amir Hakim.

Dalam pada itu, bagi kategori Disruptive UAV Challenge, pasukan yang dianggotai Muhammad Isma Haziq Jamil, Aqiel Refael Narzrezal, Muhammad Emmir Uzair Mohamad Farid dan Dhia Afrina Abdul Shafi berjaya meraih tempat naib johan.

Pihak maktab berkata, walaupun pasukan bagi kategori Propulsion Turbine Engine Challenge tidak berjaya menaiki podium, pengalaman yang diperoleh dianggap sangat berharga untuk pembangunan kemahiran pelajar dalam bidang aeroangkasa.

Menurutnya, kegagalan dalam mana-mana kategori tidak seharusnya melemahkan semangat, sebaliknya dijadikan pemangkin untuk kembali lebih kuat pada masa akan datang.

Kejayaan itu bukan sahaja mengharumkan nama MRSM Arau, malah membuktikan pelajar institusi berasrama penuh mampu bersaing dan menyerlah dalam bidang aeroangkasa di peringkat kebangsaan.