Isu membabitkan jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang dan Majlis Sukan Negara (MSN) kini dilihat menuju penyelesaian apabila badan berkenaan mengesahkan sokongan terhadap hasrat pelumba itu untuk meneruskan karier sehingga Sukan Olimpik Los Angeles (LA) 2028.
Menurut laporan Stadium Astro, MSN sudah menghantar e-mel rasmi kepada Azizulhasni pada 27 Ogos lalu bagi memuktamadkan hasil perbincangan berkaitan persiapannya ke temasya berkenaan.
Perkara itu susulan keputusan Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari yang meminta MSN memastikan kesinambungan laluan kelayakan atlet berbasikal trek negara ke LA 2028 serta meneliti kesesuaian Azizulhasni untuk kembali menyertai kem kebangsaan.
Sebelum ini, Azizulhasni menerusi penjelasan di media sosial meminta kepastian sama ada khidmatnya masih diperlukan bagi misi LA 2028 sebelum membuat perancangan lanjut berkaitan latihan, pertandingan, keluarga dan penaja.
Dalam perkembangan terbaharu, MSN memaklumkan pihaknya bersetuju dengan permohonan Azizulhasni termasuk sokongan sains sukan dan perubatan, penggunaan fasiliti MSN serta Institut Sukan Negara (ISN), selain cadangan latihan secara hibrid di Kuala Lumpur dan Melbourne.
MSN turut bersetuju menanggung penyertaan Azizulhasni dalam kejohanan utama seperti Kejohanan Berbasikal Asia dan Kejohanan Berbasikal Dunia secara berpasukan.
Bagaimanapun, MSN meminta Azizulhasni mengemukakan pelan lengkap program berserta anggaran perbelanjaan bagi memastikan peruntukan sepanjang kempen kelayakan Olimpik dapat disediakan.
Pelan berkenaan termasuk jadual latihan dan pertandingan sehingga LA 2028, sasaran prestasi, laluan kelayakan, keperluan jurulatih serta pasukan sokongan, sains sukan dan perubatan, kemudahan, peralatan serta logistik.
MSN berkata pihaknya akan melaksanakan proses selanjutnya selepas menerima maklum balas daripada Azizulhasni berdasarkan perancangan yang dikemukakan menerusi Olympic Pathway.

