“Jarang anak muda nak jadi petani, kan?” Persoalan itu mungkin kedengaran ringkas, namun penyampai radio Kool FM, Muaz, menjadikannya sebagai pembuka kepada satu perbualan yang menarik mengenai masa depan sektor agro dan peluang yang tersedia untuk generasi muda.
Menerusi Podcast Tani Istimewa MAHA, Muaz menghoskan sesi bersama Ketua Pegawai Operasi Agrobank, Zulhisham Zailan, bagi membincangkan realiti serta potensi sebenar industri agro. Dengan gaya penyampaian yang santai dan bersahaja, Muaz membawa perspektif yang dekat dengan golongan muda, khususnya mengenai persoalan sama ada bidang pertanian benarbenar mampu menjadi sumber pendapatan dan kerjaya yang menjanjikan.

Perbualan tersebut turut membuka mata mengenai perubahan dalam sektor agro yang kini tidak lagi terikat kepada gambaran tradisional mengenai pekerjaan sebagai petani. Sebaliknya, bidang ini mempunyai ruang luas untuk diterokai menerusi keusahawanan, teknologi, inovasi dan pendekatan perniagaan moden. Persoalannya, sejauh mana anak muda bersedia melihat peluang tersebut dan mengambil langkah untuk menceburinya?
Dalam sesi itu, Zulhisham turut mengetengahkan AgroYouth, inisiatif yang dibawakan khas oleh Agrobank bagi membuka laluan kepada golongan muda untuk menyertai sektor agro dan membina kehidupan yang lebih baik. Inisiatif itu memberi peluang kepada generasi baharu untuk melihat bidang agro daripada sudut yang berbeza, bukan sekadar pekerjaan, tetapi sebagai satu bidang yang berpotensi membantu mereka menjana pendapatan dan membina masa depan.
Podcast Tani Istimewa MAHA bersama Zulhisham Zailan yang dihoskan Muaz boleh ditonton menerusi YouTube rasmi MAEPS Serdang.

