Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Mufti Wilayah Perjelas Hukum Lepaskan Ikan Bandaraya Ke Sungai

hukum ikan bandaraya
Kredit: Bernama

Peminat ikan air tawar tempatan umumnya mengetahui tentang kehadiran spesies ikan pendatang di perairan negara.

Kini, pelbagai inisiatif dilaksanakan, khususnya oleh pencinta alam sekitar yang semakin giat memberi kesedaran kepada orang awam mengenai kesan spesies ini terhadap ekosistem.

Antara spesies yang sering menjadi perhatian ialah ikan bandaraya atau nama saintifiknya Hypostomus plecostomus. Spesies ini bukan sahaja membiak dengan pantas, malah berpotensi menjejaskan ekosistem ikan tempatan.

Kehadiran ikan bandaraya di perairan negara dipercayai berpunca daripada tindakan segelintir pihak yang melepaskan spesies tersebut ke sungai tanpa kawalan.

Susulan itu, timbul persoalan mengenai hukum perbuatan tersebut dari sudut agama.

Kali ini, SK kongsikan bersama pembaca hukum berkaitan tindakan melepaskan ikan bandaraya ke sungai di Malaysia. Ikuti penjelasan lanjut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkenaan perkara ini di bawah.

hukum ikan bandaraya
Kredit: Bernama

Hukum lepaskan ikan bandaraya ke sungai

Ringkasan Jawapan

Hukum melepaskan ikan bandaraya ke sungai dalam keadaan mengetahui risiko kemudaratannya adalah haram. Hal ini demikian kerana kewujudan spesies ikan ini secara berleluasa boleh mendatangkan kemudaratan terhadap alam sekitar.

Oleh itu, perbuatan melepaskan ikan bandaraya ke dalam sungai secara berleluasa bercanggah dengan prinsip-prinsip syarak yang menuntut kepada manusia agar tidak melakukan kezaliman dan kerosakan di bumi sama ada di daratan mahupun di lautan serta memelihara alam dengan sebaiknya.

Walau bagaimanapun, individu yang telah melepaskan haiwan berkenaan sebelum mengetahui kemudaratannya adalah dimaafkan ( مرتبة العفو ) kerana tiada pengetahuan tentang perkara tersebut.

Huraian Jawapan

Ikan bandaraya atau nama saintifiknya Hypostomus Plecostomus merupakan salah satu spesies ikan pemangsa yang menghuni kawasan air tawar.

Pada asalnya, ikan bandaraya ialah ikan asing yang mendiami perairan di benua Amerika Selatan kemudiannya telah diimport ke Malaysia bagi memenuhi pasaran ikan hiasan sekitar tahun 1970-an[1].

Penjualan ikan ini pada awalnya bertujuan memberikan kemudahan kepada pemilik ikan hiasan untuk membersihkan akuarium mereka. Hal ini demikian kerana haiwan ini gemar menjadikan alga dan kotoran yang terdapat di dinding dan dasar akuarium sebagai makanan.

Lantaran itu, peminat ikan hiasan lazimnya akan menempatkan ikan bandaraya bersaiz kecil atau sederhana dalam akuarium masing-masing.

Namun apabila saiz ikan tersebut semakin membesar, ia kemudiannya menjadi bebanan kepada pemilik disebabkan limitasi ruang dalam akuarium dan potensi untuk haiwan berkenaan menjadi pemangsa terhadap ikan hiasan yang lain.

Rentetan senario itu itu, pemilik ikan bandaraya melepaskan ikan mereka ke dalam sungai dengan beranggapan bahawa sungai ialah habitat yang sesuai baginya.

Berdasarkan kajian dan laporan semasa, ikan bandaraya kini merupakan spesies ikan yang mendominasi sungai-sungai tempatan.

Hal ini berpunca daripada pelbagai faktor antaranya disebabkan oleh keupayaan haiwan berkenaan untuk hidup dalam keadaan air yang kotor dan membiak dalam skala yang besar tanpa diganggu oleh haiwan pemangsa.

Bahkan ikan bandaraya juga memiliki daya ketahanan yang tinggi kerana mempunyai kulit yang keras sekaligus melindunginya daripada sebarang ancaman.

Kredit: Bernama

Selain itu, ikan bandaraya juga diklasifikasi sebagai salah satu spesies pemangsa kerana tabiat semula jadinya yang gemar memakan lava dan telur ikan yang lain[2].

Sementara dari aspek pemeliharaan alam sekitar, kewujudan ikan bandaraya dalam sungai secara berleluasa memberikan kesan negatif terhadap struktur muka bumi.

Hal ini demikian kerana, tabiat haiwan ini yang gemar mengorek lubang untuk dijadikan sebagai sarang bertelur dan tempat mengawan berisiko mengakibatkan fenomena hakisan tanah dan kejadian tanah runtuh[3].

Oleh yang demikian, perbuatan melepaskan ikan bandaraya ke dalam sungai secara berleluasa dilihat boleh mendatangkan mudarat terhadap pelbagai aspek.

Secara asasnya, syariat Islam melarang daripada melakukan perbuatan yang boleh mendatangkan kerosakan terhadap bumi. Allah SWT berfirman:

وَإِذَا تَوَلَّىٰ سَعَىٰ فِي الْأَرْضِ لِيُفْسِدَ فِيهَا وَيُهْلِكَ الْحَرْثَ وَالنَّسْلَ ۗ وَاللَّهُ لَا يُحِبُّ الْفَسَادَ

Maksudnya: “Kemudian apabila ia pergi (dengan mendapat hajatnya), berusahalah ia di bumi, untuk melakukan bencana padanya, dan membinasakan tanaman-tanaman dan keturunan (binatang ternak dan manusia) sedang Allah tidak suka kepada bencana kerosakan.”

(Surah al-Baqarah: 205)

Al-Tabari menjelaskan berkenaan ayat ini bahawa Allah SWT menyifatkan golongan munafik sebagai golongan yang melakukan kerosakan di dunia.

Beliau kemudiannya menghuraikan istilah kerosakan dalam ayat tersebut boleh difahami sebagai perbuatan maksiat, jenayah rompakan dan boleh meliputi juga jenayah yang lain[4].

Kredit: Bernama

Al-Qurtubi berpendapat bahawa lafaz kerosakan dalam ayat di atas bersifat umum iaitu meliputi semua bentuk kerosakan sama ada kerosakan terhadap tanah, harta atau agama[5].

Sementara al-Maraghi menjelaskan keadaan golongan yang melakukan kerosakan ini ialah golongan yang tunduk kepada nafsu mereka dengan melakukan kerosakan tersebut yang boleh menghancurkan dunia secara keseluruhan[6].

Bahkan Allah SWT menjelaskan lagi dalam al-Quran bahawa bentuk kerosakan yang dilakukan oleh manusia bersifat menyeluruh iaitu meliputi kerosakan di darat dan lautan. Berdasarkan firman-Nya:

ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ

Maksudnya: “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia.”

(Surah al-Rum: 41)

Di samping itu, Rasulullah SAW juga menegaskan larangan secara umum ke atas umat Islam daripada melakukan kezaliman dan kerosakan di dunia.

Berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah RA bahawa Baginda SAW bersabda:

اتَّقُوا الظُّلْمَ، فإنَّ الظُّلْمَ ظُلُماتٌ يَومَ القِيامَةِ، واتَّقُوا الشُّحَّ، فإنَّ الشُّحَّ أهْلَكَ مَن كانَ قَبْلَكُمْ، حَمَلَهُمْ علَى أنْ سَفَكُوا دِماءَهُمْ واسْتَحَلُّوا مَحارِمَهُمْ

Maksudnya: “Jauhilah kezaliman kerana kezaliman ialah kegelapan yang akan menyelubungi hari Kiamat. Jauhilah sifat bakhil kerana sifat tersebut telah memusnahkan kaum yang hidup sebelum daripada kalian. Kemusnahan mereka disebabkan oleh pertumpahan darah dan sifat melampau mereka dalam menghalalkan perkara-perkara yang haram.”

Riwayat Muslim (2578)

Menurut Ibn ‘Allan, definisi kezaliman daripada hadis ini merujuk kepada bentuk tindakan yang diambil ke atas orang lain dengan cara yang tidak sah menurut syarak[7].

Beliau kemudiannya turut menukil pandangan lain yang menyatakan maksud zalim ialah meletakkan sesuatu perkara bukan pada tempatnya yang sesuai.

Hadis ini juga secara tidak langsung boleh menjadi asas terhadap larangan melepaskan ikan bandaraya ke dalam sungai tempatan kerana dominasi ikan tersebut akan menjejaskan pelbagai perkara yang lain.

Dalam pada itu, pelepasan ikan bandaraya ke sungai bertujuan memberi kesenangan kepada pemilik akuarium daripada menanggung kerugian akibat pembiakan ikan tersebut dalam akuarium masing-masing.

Kredit: Bernama

Walau bagaimanapun, pelepasannya secara terbuka ke sungai pula mengakibatkan kemusnahan hidupan akuatik yang lain seperti kepupusan spesies ikan tempatan dan kemusnahan tumbuhan yang wujud di dalamnya.

Oleh itu, perbuatan ini bercanggah dengan prinsip syarak yang menyediakan garis panduan kepada manusia agar meletakkan keutamaan untuk mencegah kemudaratan berbanding mencapai kesenangan.

Lebih-lebih lagi kemudaratan yang berskala besar. Berdasarkan kaedah fiqh[8]:

‌دَرْءُ ‌الْمَفَاسِدِ أَوْلَى مِنْ جَلْبِ الْمَصَالِحِ

Maksudnya: “Menolak kemudaratan lebih diutamakan berbanding dengan mencapai kemaslahatan.”

Sehubungan dengan itu, setiap pemilik ikan bandaraya perlu memiliki kesedaran dengan memahami terlebih dahulu ciri-ciri haiwan berkenaan sebelum membuat keputusan untuk melepaskannya ke dalam sungai, tasik, kolam dan seumpamanya.

Lebih-lebih lagi, kajian-kajian saintifik terkini juga menunjukkan bahawa ikan bandaraya mempunyai manfaat yang tersendiri seperti bahagian isinya boleh menghasilkan kolagen untuk merawat penyakit[9], boleh diproses untuk menjadi baja tanaman, palet makanan haiwan dan sebagainya.

Dengan itu, individu yang memiliki ikan bandaraya boleh melupuskan haiwan berkenaan dengan cara menghantarnya kepada pihak-pihak yang menawarkan khidmat pelupusan.

Kesimpulan

  1. Hukum melepaskan ikan bandaraya ke sungai dalam keadaan mengetahui risiko kemudaratannya adalah haram. Hal ini demikian kerana kewujudan spesies ikan ini secara berleluasa dalam sungai boleh mendatangkan kemudaratan terhadap alam sekitar.

  2. Perbuatan melepaskan ikan bandaraya ke dalam sungai secara berleluasa bercanggah dengan prinsip-prinsip syarak yang menuntut kepada manusia agar tidak melakukan kezaliman dan kerosakan di bumi sama ada di daratan mahupun di lautan serta memelihara alam dengan sebaiknya.

  3. Individu yang telah melepaskan haiwan berkenaan sebelum mengetahui kemudaratannya adalah dimaafkan ( مرتبة العفو ) kerana tiada pengetahuan tentang perkara tersebut.