Aplikasi MyBorderPass dilaporkan mengalami gangguan capaian sistem di Dewan Bas Masuk dan Keluar serta Laluan Motosikal Masuk dan Keluar di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), hari ini.
Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) KSAB memaklumkan, susulan gangguan itu, pengembara dinasihatkan supaya terus ke kaunter pemeriksaan atau menggunakan aplikasi Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (MyNIISe) bagi tujuan pelepasan imigresen.
“Pasukan teknikal sedang menjalankan kerja-kerja pemulihan bagi memastikan sistem dapat kembali beroperasi seperti biasa.
“Segala kesulitan yang dihadapi oleh pengembara amatlah dikesali,” menurut AKPS menerusi satu hantaran di Facebook.
Menurut AKPS, kerja-kerja pemulihan sedang dijalankan bagi mengatasi gangguan berkenaan dan memastikan sistem MyBorderPass dapat beroperasi semula seperti biasa.
Untuk rekod, aplikasi MyBorderPass dilancarkan dan diperkenalkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama Jabatan Imigresen Malaysia pada 1 Januari 2025 sebagai antara inisiatif digital bagi melancarkan proses pelepasan imigresen.
Aplikasi itu membolehkan proses pelepasan imigresen dilakukan menggunakan kod QR di pintu masuk utama negara.

