Pasti ramai diantara kita yang pernah mengalami serta mempunyai pengalaman menyaksikan seseorang diserang asma.
Seperti yang semua sudah ketahui, penyakit asma ini akan membuatkan seseorang itu sukar untuk bernafas. Tambahan lagi, ianya juga boleh membawa maut sekiranya seseorang itu tidak mendapatkan rawatan.
Justeru daripada itu, bagi mengelakkan kemungkinan yang tidak diingini, ketahuilah tanda-tanda awal penyakit asma ini.
Portal Hello Doktor ada berkongsikan tentang tanda-tanda awal bagi penyakit ini. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, ikuti penulisan berkenaan perkara ini seperti berikut:
Tanda asma adalah perubahan yang berlaku sama ada sebelum atau pada permulaan serangan asma. Ia adalah cara badan anda cuba untuk memberitahu bahawa anda akan mengalami asma. Namun begitu, tanda-tanda amaran awal berbeza dalam kalangan individu.
Sebaik sahaja anda berjaya mengenali tanda asma ini, anda mungkin dapat menghentikan episod serangan asma atau menghalangnya daripada menjadi lebih teruk.
Tanda asma serangan awal
Tanda-tanda ini tidak cukup memudaratkan untuk mengganggu aktiviti harian anda. Ia mungkin berlaku beberapa hari sebelum serangan asma. Tanda-tanda ini termasuklah:
Kerap batuk, terutamanya pada waktu malam
Bacaan meter aliran puncak (peak flow meter) yang lebih rendah
Mudah mengah atau sesak nafas
Rasa sangat letih atau lemah apabila bersenam
Bunyi wheezing atau batuk semasa atau selepas bersenam
Kesukaran bernafas selepas bersenam
Cepat letih
Perubahan mood – mudah marah atau lebih banyak berdiam
Tanda-tanda selesema atau alergi (bersin, hidung berair, batuk, hidung tersumbat, sakit tekak, dan sakit kepala)
Sesak dada atau perasaan seperti ada yang menghempap dada
Dagu gatal
Lingkaran gelap bawah mata
Dahaga
Mata gatal, berkaca atau berair
Sakit kepala
Demam
Resah gelisah
Wajah menjadi pucat atau memerah
Kerap mengosongkan tekak (batuk atau menelan kahak)
Ekzema bertambah teruk
Tanda-tanda awal ini antara yang biasa terjadi. Ia bukan satu-satunya tanda yang mungkin anda hadapi dan tidak melibatkan semua pesakit.
Apa yang perlu saya lakukan?

Oleh itu, mulakan dengan memberi perhatian kepada tubuh anda. Serangan asma boleh bertambah buruk dengan cepat, jadi jika anda dapat mengenalpasti tanda-tanda amaran awal, ini dapat membantu anda mengawal keadaan.
Simpan jurnal dan tulis bagaimana perasaan anda, simptom dan bacaan peak flow meter setiap hari.
Bacaan ini mengukur betapa cepat anda boleh menghembuskan nafas dan jika ia berkurangan, ini mungkin menandakan keadaan anda sedang bertambah buruk.
Jika anda tidak mengenali tanda-tanda amaran awal, anda mungkin perlu menggunakan peak flow meter secara kerap. Perhatikan sebarang tanda amaran dan bacaan peak flow meter sekaligus boleh meramal jika keadaan semakin teruk.
Sebaik sahaja mengetahui tanda-tanda asma ini, rawat sebarang simptom dengan segera apabila ia berlaku.
Selain itu, jauhkan diri dari sumber alahan seperti habuk dan debu bagi menghalang serangan asma jadi bertambah parah.
Tindakan yang perlu diambil hendaklah dicatat dalam Pelan Tindakan Asma anda menurut saranan doktor.