Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Najib Razak Imbau Pelancaran LRT3

NAJIB RAZAK
Kredit: Facebook Najib Razak

Najib Razak Imbau Pelancaran LRT3

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengimbas kembali pelancaran projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) pada 2016 sambil menyifatkannya sebagai bukti pendekatan pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) yang mengutamakan pembangunan rakyat tanpa mengira perbezaan politik.

Menerusi hantaran di Facebook semalam, Najib berkata projek yang menghubungkan Bandar Utama ke Johan Setia itu dilancarkan ketika Azmin Ali masih memegang jawatan Menteri Besar Selangor serta Timbalan Presiden PKR.

Menurut beliau, kerajaan BN pada ketika itu tidak menjadikan perbezaan politik sebagai halangan untuk melaksanakan projek yang memberi manfaat kepada rakyat.

“Kerajaan BN tidak berkira, tidak main politik dalam soal pembangunan. Asalkan projek baik untuk rakyat, kita buat,” katanya.

Najib berkata, ketika pelancaran dibuat pada Ogos 2016, sasaran awal yang ditetapkan adalah untuk menyiapkan projek tersebut sekitar tahun 2020.

Katanya, tempoh pembinaan kira-kira empat tahun itu dianggap agak mencabar memandangkan projek Mass Rapid Transit Laluan Sungai Buloh-Kajang (MRT1) sepanjang 51 kilometer sebelum itu mengambil masa kira-kira enam tahun untuk disiapkan.

Bagaimanapun, beliau berkata jajaran LRT3 sepanjang 37.8 kilometer diyakini mampu disiapkan mengikut jadual berikutan penekanan pentadbiran BN terhadap prestasi pelaksanaan serta pencapaian petunjuk prestasi utama (KPI).

Projek LRT3 yang menghubungkan Bandar Utama dan Johan Setia itu akhirnya siap dibina dan mula beroperasi semalam selepas melalui beberapa penangguhan berbanding sasaran asal yang diumumkan ketika pelancarannya hampir sedekad lalu.