Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menzahirkan rasa terharu dengan solidariti terhadap beliau dan dalam masa yang sama tidak mahu sesiapapun berasa terbeban dengan sebarang kewajipan atas namanya bagi memenuhi syarat yang ditetapkan berhubung pengampunan bersyarat.
Menurut Firma guaman Tetuan Shafee & Co yang mewakili Najib, anak guamnya terharu dengan limpahan sokongan yang diterima sejak pengumuman pengampunan bersyarat yang diberikan kepadanya
“Beliau tetap amat berterima kasih kepada mereka yang, atas kerelaan sendiri dan mengikut kemampuan masing-masing, telah memilih untuk menghulurkan sokongan dan bantuan.
“Keikhlasan mereka merupakan sumber kekuatan yang amat besar kepada beliau sejak dari dahulu sehingga hari ini,” katanya.
Tambah kenyataan itu, Najib turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada ahli keluarga, sahabat handai serta semua yang sentiasa mendoakan beliau, dan beliau memohon agar privasi keluarga beliau dihormati.
Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO serta kepimpinan dan ahli UMNO dan Barisan Nasional di semua peringkat.
“Beliau turut berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang telah tampil untuk menawarkan bantuan bagi memenuhi syarat yang ditetapkan. Beliau merasa amat bersyukur dan terharu bahawa begitu ramai yang ingin memberi sokongan dan berdiri bersama beliau.” katanya.
Terdahulu, anak guamnya telah diperkenan Yang di-Pertuan Agong ke-17, Sultan Ibrahim untuk menjalani baki hukuman secara tahanan rumah.
Walau bagaimanapun, pelaksanaan tahanan rumah itu bergantung kepada pematuhan syarat yang ditetapkan.
Najib Kekal Dipenjara Sehingga Denda RM50 Juta Dibayar
“Sementara itu, dan sehingga denda tersebut dibayar kepada mahkamah, anak guam kami kekal berada di dalam Penjara Kajang.
“Anak guam kami serta pasukan peguamnya kini sedang meneliti syarat-syarat tersebut serta implikasi praktikalnya,” maklum kenyataan itu.
Tambahnya, berhubung pembayaran denda RM50 juta Tetuan Shafee & Co menjelaskan sebahagian besar aset, akaun bank dan hartanah Najib masih tertakluk kepada perintah pembekuan serta tindakan penguatkuasaan kerajaan.
Selain itu, pelupusan aset berkenaan tidak berada sepenuhnya dalam kawalan Najib pada masa ini.
Najib kini sedang mendapatkan nasihat dan mempertimbangkan pilihan-pilihan yang ada bagi menentukan cara terbaik untuk memenuhi syarat tersebut.
