Mungkin ramai yang ambil ringan tentang najis sendiri, dan ada juga yang malu untuk bincangkan perkara ini. Tapi tahu tak, warna najis boleh jadi petunjuk kepada keadaan kesihatan kita?
Dalam satu hantaran di Threads, @dr.azraaziz atau Dr Azra berkongsi tentang satu kisah yang dialaminya bersama seorang pesakit yang memberitahu najisnya berwarna hitam.
Apabila Dr Azra bertanyakan bagaimana rupa warna hitam tersebut, pesakit berkenaan kemudiannya menunjukkan gambar najisnya kepada doktor.
Najis Warna Hitam Mungkin Petanda Pendarahan Berlaku
Pesakit tersebut turut memaklumkan bahawa dia mengalami vertigo seperti dunia berpusing-pusing selain mengalami jantung berdebar dan badannya tiba-tiba lemah sejak menyedari najisnya berwarna hitam.
“Dia sebenarnya perasaan sejak semalam. Najis warna hitam, melekit. Bau pun lain daripada biasa.
“Tapi dia fikir mungkin sebab makanan kot. Jadi dia tunggu sampailah pagi tu. Bila berdiri, dunia rasa macam berpusing, jantung berdebar dan badan tiba-tiba lemah,” katanya.
Katanya, najis yang berwarna hitam pekat dan melekit yang kemudiannya diikuti dengan rasa penih, lemah atau nak pitam, itu mungkin petanda pendarahan dalam saluran penghadaman di bahagian atas sedang berlaku.
“Najis yang hitam pekat, tarry (macam jalan bertar tu)/sticky (melekit) terutama bersama pening, lemah atau rasa nak pitam boleh jadi tanda pendarahan dalam saluran penghadaman bahagian atas.
“Nama medical dia Melaena,” ujarnya.
Jelasnya, apabila pendarahan berlaku di bahagian atas sistem penghadaman, darah tidak akan keluar terus namun akan melalui usus terlebih dahulu.
“Dia akan lalu usus dulu. Sepanjang perjalanan, darah itu terkena asid dan proses pencernaan. Macam makanan yang berubah sepanjang perjalanan dalam usus.
“Darah pun berubah. Sebab tu bila sampai bawah dia boleh keluar hitam macam tar, bukan merah,” jelasnya.
Tambah Dr Azra, antara punca berlakunya pendarahan dalam perut adalah ulser, di mana lapisan dalam perut seperti dinding terluka.
“Bila lapisan itu terluka dan ulcer jadi cukup dalam, ia boleh terkena salur darah di bawahnya. Bila salur darah tu berdarah, darah masuk terus ke dalam sistem penghadaman. Sebab itu anda mungkin tak nampak darah merah langsung.
“Yang anda nampak beberapa jam kemudian, najis hitam macam tar,” ujarnya.
Katanya lagi, ulser dikaitkan dengan jangkitan H. Pylori serta penggunaan ubat tahan sakit jenis NSAIDS seperti ibuprofwn, Naproxen atau Diclofenac untuk jangka masa penjang.
“Sebab tu bila anda datang dengan Malaena, antara soalan doktor akan tanya, 'Ada ada ambil ubat tahan sakit kebelakangan ini,” katanya.
Terangnya, disebabkan darah sudah berkurang di saluran darah, maka saat itulah pesakit mula berasa lemah, pening kepala bila berdiri, jantung berdegup laju, sesak nafas, atau sampai selesai.
Bagaimanapun, Dr Azra memaklumkan najis hitam tidak semestinya bermaksud ada pendarahan dalam badan kerana terdapat ubat tertentu dan sesetengah makanan boleh mengubah warna najis.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan muntah darah yang berwarna merah atau berwarna hitam juga boleh jadi amaran untuk anda berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Kalau muntah darah, najis hitam tarry bersama rasa nak pitam/pengsan, sangat lemah, sesak nafas atau keadaan semakin teruk, tolong pergi Unit Kecemasan,” katanya.
Dr Azra turut mengingatkan orang ramai untuk tidak berasa malu untuk bertemu dengan doktor jika berlaku sesuatu pada badan.
“Kalau sesuai, ambil gambar untuk tunjuk kepada doktor. Bagi anda mungkin geli tapi bagi doktor, warna bentuk dan rupa itu boleh jadi petunjuk klinikal,” ujarnya.


