Ketika kerajaan India sedang bersedia untuk melakarkan sejarah negaranya dengan menjadi negara keempat di dunia berjaya menjejakkan kaki ke bulan, rakyat di negara tersebut juga berjaya ‘melakarkan’ sejarah apabila sebuah video ‘moonwalk’ yang dibuat menjadi perhatian seluruh pelusuk dunia.
Video yang dirakam oleh artis jalanan terkenal di India, Baadal Nanjundaswamy, dimuatnaik Ahad lalu dalam tempoh beberapa minggu sebelum misi Chandrayaan-2 sampai ke permukaan bulan pada 7 September ini.
Nanjundaswamy menggunakan perkhidmatan pelakon teater dan bintang filem Poornachandra Mysore bagi membantu melakonkan watak angkawasan yang sedang berjalan di atas permukaan bulan.
Menerusi video tersebut, Mysore yang memakai pakaian angkawasan yang direka oleh pereka tempatan dilihat berjalan di atas jalan raya yang berlubang bagi menujukkan protes mereka terhadap keadaan jalan raya di negara tersebut.
”Semuanya dirakam menggunakan kamera telefon bimbit, tiada cahaya tambahan digunakan. Jadi secara asasnya, saya tidak menjangkakan ia akan tular begini,” kata Nanjundaswamy.
Rata-rata rakyat di negara itu menyokong video berkenaan dengan menyifatkan ianya sebagai sesuatu yang unik dalam meluahkan rasa protes mereka mengenai keadaan jalan raya yang teruk kepada kerajaan.
”Saya ingatkan Pertubuhan Penyelidikan Angkasa India (ISRO) menghantar seorang lelaki ke bulan tetapi rupanya tidak. Ianya adalah Jalan Bengaluru yang sama seperti bulan,” tulis seorang individu.
Nanjundaswamy terkenal dengan aksi serupa yang bertujuan untuk menekan ahali-ahli politik untuk memperbaiki kawasan mereka demi kemudahan rakyat.
Pada tahun 2015, beliau ‘menanam’ buaya dengan saiz sebenar sepanjang 12 kaki di utara Bangalore sebagai usaha untuk wakil rakyat membetulkan lopak di jalan.

Pada tahun 2017, dia berjaya menukar ‘kawah’ yang terdapat di pinggir jalan kepada sebuah adegan fantasi dengan kehadiran puteri duyung yang menakjubkan.
Jom tonton video di bawah. Memang win habis.
Sumber : RT.COM
