Bila nak ke luar negara, sama ada untuk melancong, bekerja atau belajar, macam-macam persediaan perlu dibuat.
Pasport, tiket penerbangan, tempat tinggal dan dokumen penting mungkin antara perkara pertama yang kita fikirkan.
Tapi ada satu lagi perkara penting yang ramai mungkin terlepas pandang iaitu mendaftarkan keberadaan dengan Pejabat Perwakilan Malaysia yang berhampiran di negara yang dikunjungi.
Langkah ini penting sebagai persediaan sekiranya berlaku kecemasan, bencana atau insiden tidak diingini ketika kita berada di negara orang.
Menurut Kementerian Luar Negeri (KLN), rakyat Malaysia yang berada di luar negara disarankan untuk mendaftarkan keberadaan mereka bagi membantu Pejabat Perwakilan Malaysia menghulurkan bantuan sewajarnya sekiranya berlaku bencana atau kecemasan.
Cara maklum keberadaan di luar negara
Mudah sahaja, pendaftaran boleh dibuat secara dalam talian menerusi Sistem e-Konsular Kementerian Luar Negeri atau aplikasi mudah alih yang disediakan.
Berikut langkah-langkahnya:
Masuk ke Sistem e-Konsular Kementerian Luar Negeri
Daftar akaun atau log masuk
Pilih fungsi 'Pendaftaran Rakyat Malaysia Di Luar Negara'
Isi maklumat diri serta maklumat keberadaan anda di negara berkenaan
Lengkapkan maklumat yang diperlukan berkaitan perjalanan dan tempat tinggal sebelum menghantar pendaftaran

Antara maklumat yang diminta termasuk nombor telefon serta alamat tempat tinggal di negara berkenaan.
Kenapa penting untuk daftar?
Sekiranya berlaku kecemasan atau bencana, maklumat yang didaftarkan dapat membantu Pejabat Perwakilan Malaysia mengetahui keberadaan serta menghubungi rakyat Malaysia yang berada di kawasan terjejas.
Selain bencana dan kecemasan, KLN turut menyediakan bantuan konsular kepada rakyat Malaysia yang berdepan pelbagai situasi di luar negara. Antaranya:
Bantuan jika rakyat Malaysia ditangkap atau ditahan di luar negara
Bantuan berkaitan kematian rakyat Malaysia di luar negara
Bantu urus pemindahan wang kecemasan yang diperlukan daripada ahli keluarga atau rakan di Malaysia
Jadi, jangan lupa daftarkan keberadaan anda sebelum ke luar negara. Langkah kecil ini mungkin sangat membantu ketika berlakunya kecemasan.


