Pelawak dan pelakon, Jep Sepahtu memaklumkan bahawa tindakan undang-undang telah diambil berhubung isu fitnah yang melibatkan dirinya.
Jep Sepahtu ambil tindakan undang-undang
Menerusi kenyataan yang dikongsikan hari ini di Threads, Jep atau nama sebenarnya Mohd Nadzri Zainal Abidin berkata tindakan tersebut diambil selepas mendapatkan nasihat daripada peguam.
Kenyataan itu dibuat sebagai respons terhadap video permohonan maaf yang dikongsikan Shuib Sepahtu sebentar tadi.
Menurut Jep, perkara tersebut bukan sekadar berkaitan sindiran, sebaliknya melibatkan dakwaan yang dianggap serius terhadap dirinya.
“Aku pun nak minta maaf sebab ketika kau keluarkan video ini, aku telah pun mengambil tindakan undang-undang atas nasihat peguam.
“Kerana ini benar-benar fitnah jahat terhadap diri aku. Ini bukan pasal sindir, ini pasal fitnah,” ujarnya.
Jelaskan tujuan perkongsian resit
Dalam pada itu, menerusi satu hantaran di Threads yang dikongsikan enam hari lalu, Jep turut menjelaskan tujuan resit yang dipaparkannya.
Jep menjelaskan perkongsian itu bukan bertujuan untuk menunjuk nunjuk atau berbangga dengan jumlah zakat yang dibayar, sebaliknya sebagai bukti susulan terhadap perkara yang diperkatakan.
Beliau turut menegaskan bahawa rezeki yang diperoleh sepanjang kerjayanya bukan sahaja untuk dirinya, malah dikongsi dengan pihak lain atas izin Allah.
“Alhamdulillah, rezeki yang Allah titipkan pada aku, dengan izin Allah aku turut berkongsi. Mana mungkin hak orang pula aku nak ambil,” katanya.
Jep turut merakamkan penghargaan kepada Astro atas peluang yang diberikan menerusi program Sepahtu Reunion dan Sinar FM sepanjang tempoh 2015 hingga 2025.
Perjelas urusan bayaran
Mengulas lanjut, Jep memaklumkan bahawa beliau telah mengemukakan permohonan maaf pada 8 Oktober lalu dan berharap agar isu berkenaan dapat diselesaikan dengan baik.
Beliau turut menjelaskan bahawa sepanjang penglibatannya dalam kumpulan berkenaan, urusan bayaran dibuat secara individu dan bukannya melalui satu perjanjian bayaran untuk keseluruhan kumpulan.
Katanya, sekiranya terdapat sebarang persoalan berkaitan pembayaran, perkara tersebut wajar diperjelaskan secara terus bagi mengelakkan salah faham.
Dalam kenyataan sama, beliau menegaskan bahawa dirinya sentiasa berusaha menjaga sumber pendapatan yang diperoleh dan tidak mahu mengambil hak orang lain.
Mahu beri tumpuan kepada keluarga
Pada masa sama, Jep berharap agar isu berkenaan tidak berpanjangan dan mahu memberikan tumpuan kepada keluarga, khususnya membesarkan dua orang anaknya.
Beliau turut berharap agar semua pihak dapat menghormati ruang peribadi masing-masing dan menyelesaikan sebarang perselisihan melalui saluran yang bersesuaian.
Jep menegaskan bahawa keutamaannya ketika ini adalah untuk memberikan perhatian kepada keluarga serta meneruskan kehidupan dengan tenang.

