Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah
Tiada Kategori

Nestlé Malaysia Perluas Program ‘Halal@School’ dengan Pelancaran Peringkat Negeri Pertama di Melaka

Siti Sakinah
Nestlé Malaysia Perluas Program ‘Halal@School’ dengan Pelancaran Peringkat Negeri Pertama di Melaka

Nestlé Malaysia Perluas Program ‘Halal@School’ dengan Pelancaran Peringkat Negeri Pertama di Melaka

Berbekalkan komitmen berterusan untuk menyantuni masyarakat dan menerajui sektor Halal, Nestlé Malaysia baru-baru ini melancarkan program Halal@School peringkat negeri yang pertama di Melaka. Majlis pelancaran tersebut merupakan satu mercu jaya penting dalam usaha syarikat meningkatkan kesedaran tentang nilai-nilai Halal dan pemakanan sihat dalam kalangan anak muda di Malaysia.

Majlis pelancaran yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Kerubong ini menghimpunkan lebih daripada 500 murid dari enam sekolah yang terlibat. Mereka menyertai satu siri aktiviti praktikal menarik yang bertumpukan prinsip Halal, keselamatan makanan dan pemakanan seimbang. Direka suai untuk menjadikan pembelajaran lebih mudah dan menyeronokkan, program ini meliputi sesi perkongsian, kuiz dan Perlumbaan Halal Explore Race, yang disusun khas untuk program ini, semuanya dengan matlamat untuk membantu murid-murid memahami konsep Halal sebagai cara hidup yang berlandaskan integriti, kesejahteraan dan sikap menghormati orang lain.

Dilancarkan pada 2018 dengan kerjasama Institut Fatwa dan Halal (iFFAH) di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Halal @ School adalah sebahagian daripada komitmen Nestlé Malaysia yang lebih luas untuk menambah baik kehidupan komuniti tempatan di samping menyebarkan ilmu pemakanan.

Nasrul Hadi Mohamed Nor, Ketua Hal Ehwal Halal, Nestlé Malaysia, berkata, “Sebagai Pusat Kecemerlangan Halal global Nestlé, kami menganggap sememangnya menjadi tanggungjawab kami untuk memberikan sumbangan bukan sahaja menerusi produk berkualiti yang kami hasilkan, tetapi juga melalui penglibatan bermakna dalam masyarakat di tempat kami berkhidmat. Menerusi program Halal@School, kami dapat menghulur tangan kepada murid-murid dengan cara yang praktikal, terangkum dan relevan, memupuk tahap kesedaran lebih tinggi tentang nilai-nilai Halal sambil menggalakkan pilihan pemakanan lebih sihat dalam kalangan generasi masa depan kita.”

Sejak dimulakan, program ini telah diperluaskan dari tahun ke tahun, melibatkan lebih daripada 5,400 murid di 166 sekolah di seluruh negara. Pada 2024 sahaja, tiga siri Halal @ School telah diadakan meliputi 23 sekolah di Putrajaya, Johor dan Kedah, melibatkan lebih 1,100 murid.

Peluasan ke Melaka membuka lembaran baharu bagi program , dan sekali gus menandakan kejayaan program berkembang maju melangkaui daerah ke peringkat negeri dengan penglibatan murid-murid secara lebih meluas. Program selanjutnya dirancang pada 2025 untuk menyantuni murid-murid di wilayah Pantai Timur dan Utara pada penghujung tahun 2025.

Satu ciri penting Halal@School pada tahun ini ialah pendekatan terangkum yang diguna pakai, dengan mengalu-alukan penyertaan murid-murid Islam dan juga bukan Islam. Dengan menggalakkan pembelajaran bersama dalam persekitaran berbilang budaya, program ini membantu membina kefahaman dan empati, sambil mengukuhkan nilai-nilai teras penggunaan beretika.

Puan Rahayu Binti Mohd Thith, Pengetua SK Kerubong, berkata, “Alhamdulillah, kami amat bersyukur dan berbesar hati kerana daripada begitu banyak sekolah di Melaka, SK Kerubong telah dipilih sebagai tuan rumah untuk program ini. Dari saat kami memperkenalkan program, murid-murid begitu berminat dan ramai yang ingin turut serta, malah ibu bapa juga berharap semua anak mereka boleh mengambil bahagian. Langkah mendidik murid-murid kita tentang amalan Halal dan pemakanan sihat jelas tidak mengenal fahaman atau agama. Pada hakikatnya, kita mahu memupuk gaya hidup yang menyokong kesejahteraan fizikal, kecerdasan minda dan nilai-nilai moral. Halal bukan sahaja mengenai kepercayaan, tetapi juga kesihatan, sains dan keputusan bijak demi masa depan yang lebih baik. Kami yakin menerusi inisiatif ini, kami membina generasi pelajar yang bukan sahaja bijak dan moden, tetapi bertanggungjawab dan prihatin tentang pengambilan makanan.”

Nur Yasmin Arissa Khairin Bt. Mohd Raziq, salah seorang murid yang turut serta dari SK Kerubong, berkongsi keseronokannya tentang program tersebut, “Aktiviti kegemaran saya ialah Perlumbaan Halal, kerana kita berpeluang untuk belajar sambil bermain dan juga memenangi hadiah! Mempelajari tentang amalan Halal dan pemakanan sihat penting kerana kita dapat membuat keputusan bijak berasaskan agama dan budaya kita. Apa yang menjadikan program ini berbeza daripada pelajaran biasa di sekolah ialah kita tidak hanya duduk dan membaca dari buku teks. Di sini, kami belajar menerusi aktiviti menyeronokkan yang membantu kami meningkatkan kreativiti dan memikirkan idea-idea baharu.”

Sebagai sebahagian daripada pendekatan Mencipta Nilai Bersama, program Halal@School ialah salah satu daripada usaha berterusan Nestlé Malaysia untuk menambah baik kehidupan komuniti tempatan. Usaha ini mencerminkan komitmen Syarikat untuk membekalkan produk Halal, berkhasiat dan bermutu tinggi, dibuat di Malaysia, oleh rakyat Malaysia, untuk semua rakyat Malaysia, berlandaskan teras kelestarian. Menerusi inisiatif seperti ini, Nestlé meneruskan misi untuk membekalkan khasiat kepada masyarakat dan membantu membina masa depan yang lebih baik untuk semua.