Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Kebangsaan Nepal (NHRCN) menegaskan kepentingan kerjasama dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dalam memastikan hak pekerja migran Nepal di Malaysia terus dilindungi.

Pengerusi NHRCN, Hon. Top Bahadur Magar, berkata kerjasama menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua institusi itu penting memandangkan Nepal merupakan antara negara asal yang menghantar tenaga kerja ke Malaysia dan beberapa negara lain.
Menurut beliau, Perlembagaan Nepal turut memberi mandat kepada NHRCN untuk melindungi hak rakyat Nepal bukan sahaja yang menetap di dalam negara, malah mereka yang berada di luar negara.
Katanya, perkara itu termasuk memastikan hak pekerja migran Nepal yang bekerja di Malaysia diberi perhatian serta mendapat perlindungan sewajarnya.
“Sebagai sebuah negara asal pekerja migran, kita menghantar rakyat untuk bekerja di pelbagai negara seperti Malaysia dan kita perlu memastikan bagaimana hak mereka dilindungi di negara tempat mereka bekerja,” katanya dalam ucapannya pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara SUHAKAM dan NHRCN, di sini.
Beliau berkata, NHRCN turut menerima maklumat dan aduan berkaitan dakwaan pelanggaran hak pekerja Nepal di Malaysia, termasuk membabitkan pekerja yang tidak mempunyai dokumentasi.
Jelasnya, isu berkenaan perlu dibawa kepada SUHAKAM kerana sebarang dakwaan pelanggaran hak yang berlaku di Malaysia perlu ditangani melalui saluran institusi hak asasi manusia di negara ini.
Ujarnya, pekerja yang berdepan masalah seperti tindakan berlebihan pihak berkuasa atau isu berkaitan hak mereka perlu mendapatkan bantuan dan membuat aduan kepada SUHAKAM untuk tindakan lanjut.
Dalam pada itu, beliau berkata terdapat juga pekerja Nepal yang berdepan masalah berkaitan insurans, termasuk kes kemalangan dan kesukaran mendapatkan bayaran berdasarkan perlindungan yang sepatutnya.
Katanya, perkara berkenaan turut merupakan isu hak asasi manusia dan perlu ditangani mengikut saluran serta mekanisme yang ditetapkan di Malaysia.
“Jika isu itu berlaku di Malaysia, mereka perlu pergi kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dan SUHAKAM boleh mengambil tindakan serta membawa perkara itu kepada pihak kerajaan, polis atau institusi berkaitan,” katanya.
Magar turut menyentuh mengenai keperluan meningkatkan kesedaran dalam kalangan pekerja Nepal mengenai fungsi dan peranan SUHAKAM.
Menurutnya, hasil lawatan terdahulu mendapati terdapat pekerja Nepal di Malaysia yang masih tidak mengetahui kewujudan SUHAKAM serta fungsi suruhanjaya itu dalam menangani isu berkaitan hak asasi manusia.
Beliau berkata, pekerja Nepal perlu diberikan maklumat yang jelas mengenai saluran aduan supaya sebarang isu pelanggaran hak dapat disampaikan kepada pihak yang bertanggungjawab.
“Jika hak asasi manusia anda dilanggar, anda perlu membuat aduan kepada SUHAKAM. Jika mendapat sebarang maklumat berkaitan, sampaikan kepada SUHAKAM dan mereka akan mengambil tindakan,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menyambut baik kemudahan yang disediakan SUHAKAM bagi membolehkan aduan dibuat secara dalam talian termasuk dalam bahasa Nepali.
Jelasnya, kemudahan berkenaan dapat membantu pekerja Nepal yang terjejas atau berdepan isu hak asasi manusia mengemukakan aduan dalam bahasa yang lebih mudah difahami.
Beliau turut berkata, pelaksanaan Pelan Tindakan Nasional berkaitan pekerja migran perlu diberi perhatian dan disusuli tindakan oleh semua pihak berkepentingan, termasuk NHRCN, kerajaan Nepal, kerajaan Malaysia, kementerian berkaitan serta agensi pengambilan pekerja.
Menurut beliau, mekanisme pemantauan, advokasi dan pengendalian aduan perlu diperkukuh bagi menangani isu yang membabitkan pekerja migran Nepal, termasuk jumlah kematian yang tinggi dalam kalangan komuniti berkenaan.
Katanya, kerjasama antara pihak berkuasa Malaysia, organisasi masyarakat sivil dan pertubuhan bukan kerajaan juga penting dalam memastikan aduan pekerja migran dapat ditangani dengan sewajarnya.
Ujarnya, isu berkaitan pampasan dan perlindungan insurans turut perlu diberikan perhatian supaya pekerja yang mengalami kemalangan atau berdepan masalah berkaitan keselamatan sosial tidak dinafikan hak mereka.
Beliau berkata, semua mekanisme yang telah dipersetujui dalam pelan tindakan perlu dilaksanakan dan dibuat susulan bagi memastikan kerjasama antara kedua-dua negara memberi manfaat kepada pekerja migran Nepal di Malaysia.
“Saya sekali lagi ingin mengucapkan terima kasih kepada pengerusi dan semua anggota SUHAKAM atas jemputan serta kerjasama yang diberikan,” katanya.

