Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Nostalgia 92 Tahun, Kilang Lee Biscuits Umum Tamat Operasi Di Pontian Bulan Ini

Lee Biscuits
Kredit: Google

Lee Biscuits, syarikat berusia 92 tahun yang menghasilkan makanan ringan seperti biskut Marie, bakal menutup kilangnya yang telah lama beroperasi di Pontian, Johor, menjelang akhir Oktober lapor The Straits Times.

Dalam akhbar China Press, melaporkan bahawa tiada rancangan pengeluaran pada masa depan diumumkan bagi jenama yang turut dikenali sebagai Nam Lee itu.

Antara produk utama jenama berkenaan ialah biskut kraker soda klasik, biskut Marie, tat pisang, biskut sandwic lemon, biskut aising permata, biskut berbentuk haiwan serta biskut gandum penuh spirulina.

Kilang Lee Biscuits Bakal Tutup Kilang

Semakan The Straits Times mendapati produk syarikat itu turut dijual di pasar raya dan melalui peruncit dalam talian di Singapura.

Menurut China Press, kilang berkenaan dilaporkan sedang dalam proses memberhentikan pekerja, manakala pembekal dan pelanggan telah menerima notis mengenai penghentian pengeluaran sejak September.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pekan Nanas, Tan Eng Meng, mengesahkan kepada China Press bahawa beliau menerima berita mengenai penutupan kilang yang bakal dilaksanakan itu.

Langkah tersebut merupakan sebahagian daripada penstrukturan semula perniagaan syarikat secara menyeluruh.

Difahamkan, Lee Biscuits akan keluar daripada sektor pembuatan makanan ringan bagi menyatukan asetnya dan memberikan tumpuan kepada pegangan perniagaan utama, termasuk operasi getah dan kelapa sawit.

Perkembangan itu menyusuli penutupan kilang pengetinan Lee Pineapple di Skudai pada November 2023, apabila syarikat beralih tumpuan kepada penanaman kelapa sawit.

Semakan turut mendapati laman sesawang syarikat berkenaan tidak dapat diakses.

Ditubuhkan di Singapura pada 1934 oleh tokoh dermawan terkemuka, Lee Kong Chian, jenama itu beroperasi dari pangkalannya di negara tersebut selama 21 tahun sebelum berpindah ke Malaysia pada 1955.

Perpindahan tersebut bertujuan memanfaatkan rantaian bekalan pertanian dan ruang perindustrian di Malaysia.

Operasi pengeluaran dipindahkan ke Tampoi, Johor Bahru, sebelum berpindah ke Pontian pada 2005.

Intipati
  • Lee Biscuits bakal menutup kilang Pontian menjelang akhir Oktober selepas 92 tahun beroperasi.
  • Kilang itu dilaporkan sedang memberhentikan pekerja dan menghentikan pengeluaran sejak September.
  • Syarikat difahamkan mahu menumpukan aset kepada operasi getah dan kelapa sawit.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan