OAG & The Times Bertemu Di Odeon KL Untuk “Disko Dansa Generasiku”
Dua nama yang cukup dekat dengan perjalanan muzik alternatif Malaysia, OAG dan The Times, bakal berkongsi pentas menerusi Disko Dansa Generasiku, yang akan berlangsung pada 10 Oktober 2026 di Odeon KL.
Pertemuan ini bukan sekadar menggandingkan dua band dalam satu konsert. Ia menemukan dua zaman yang saling berkait dalam sejarah muzik alternatif tempatan daripada ledakan alternative rock Malaysia pada era 1990-an kepada kebangkitan generasi indie Melayu pada pertengahan 2000-an.

OAG: DARIPADA ALTERNATIVE KE GENERASIKU
Ditubuhkan di Kuala Lumpur pada 1992 sebagai Old Automatic Garbage, OAG muncul ketika landskap muzik arus perdana Malaysia masih kuat dengan rock, pop dan balada. Dengan alternative rock, fuzzy guitars, melodi pop dan imej yang cukup berbeza ketika itu, OAG pantas mencipta identiti mereka sendiri.
Album sulung Old Automatic Garbage pada 1994 melahirkan “60's TV”, lagu yang kemudiannya menjadi antara karya paling sinonim dengan era awal OAG. Di bawah Positive Tone, band ini menjadi sebahagian daripada gelombang muzik alternatif tempatan yang berjaya menembusi khalayak lebih luas. Album tersebut dilaporkan mencapai status triple platinum, sementara OAG dinobatkan sebagai Artis Baru Terbaik di Anugerah Industri Muzik 1996.

Perjalanan mereka kemudian berkembang dengan karya-karya Bahasa Melayu, termasuk “Generasiku”, yang mengukuhkan OAG sebagai salah satu band yang menjadi soundtrack kepada generasi 1990-an dan awal 2000-an.
Menjelang konsert ini, vokalis OAG, Radhi, menyifatkan Disko Dansa Generasiku sebagai sebuah pertemuan yang membawa makna besar buat perjalanan muzik tempatan.
“Konsert ini bukan sekadar tentang OAG atau The Times, tetapi tentang perjalanan muzik alternatif Malaysia yang saling bersambung dari satu generasi ke generasi yang lain. Kami mahu penonton datang bukan sahaja untuk menyanyi bersama, tetapi untuk menghidupkan semula memori dan meraikan muzik yang pernah menjadi sebahagian daripada hidup mereka.”

SATU SUSUR GALUR, SATU CERITA BARU
Hubungan dengan The Times bermula pada awal 2000-an apabila dua beradik, Naza dan Mono, menjadi sebahagian daripada line-up OAG - Naza sebagai gitaris dan Mono di posisi bass.
Selepas meninggalkan OAG dan memilih untuk meneroka arah muzik sendiri, kedua-duanya menubuhkan The Times pada 31 Ogos 2004.
The Times tidak muncul sebagai OAG versi baharu. Sebaliknya, mereka membina dunia mereka sendiri dengan campuran British pop, mod, psychedelia dan rock 'n' roll, sambil membawa sensibiliti Melayu yang cukup kuat dalam bahasa, humor dan penulisan lagu.
