Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Olimpik Paris: Kecewa Penyertaan Dibatalkan, Atlet Gusti India Umum Bersara

Azizah Najib
penyertaan atlet gusti dibatalkan
Gambar: AFP

Olimpik Paris: Kecewa Penyertaan Dibatalkan, Atlet Gusti India Umum Bersara

Paris — Hasrat atlet sukan gusti dari India, Vinesh Phogat, 29, untuk merebut pingat emas dalam kategori 50kg gaya bebas tidak kesampaian apabila penyertaannya dibatalkan kerana berat badan berlebihan.

Menurut Times of India, Vinesh tidak dapat meneruskan perlawanannya bertemu atlet dari Amerika Syarikat, Sarah Ann Hildebrandt disebabkan terlebih 100 gram ketika sesi menimbang berat badan. Susulan itu, Sarah mara ke pusingan akhir bertemu atlet dari Cuba, Yusneylys Guzmán Lopez dan beroleh kemenangan.

Sebelum ini, Vinesh telah mengalahkan Lopez tetapi disebabkan penyertaannya telah terbatal, Lopez menggantikan tempatnya untuk bertemu Sarah. Penggantian ini mengikut peraturan perlawanan sedia ada.

Berikutan kekecewaan itu, Vinesh mengumumkan persaraannya dalam sukan gusti pada Khamis menerusi laman X miliknya.

“Mak, gusti telah kalahkan saya. Saya kalah, keberanian saya semua hancur, saya sudah tidak ada kekuatan lagi sekarang.

“Selamat tinggal, gusti 2001 – 2024,” ujarnya.

BACA: Olimpik Paris 2024: Filipina Tuai Pingat Emas Pertama Menerusi Gimnastik Lelaki

Biarpun telah mencuba untuk mengurangkan berat badan yang terlebih beberapa kilogram selama beberapa bulan sebelum Olimpik.

Menurut laporan media, Vinesh dikejarkan ke hospital selepas pengsan akibat berjaga sepanjang malam untuk bersenam, kurang makan dan minum bagi menurunkan berat badan.

BACA: Sungai Seine Tercemar Selepas Hujan, Latihan Triatlon Dibatalkan Lagi

Terdahulu, Vinesh juga tetap cuba membuat rayuan untuk pulang bersama pingat perak, lapor The Times Of India.

“Vinesh Phogat telah membuat rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) terhadap kehilangan kelayakannya, memohon pingat perak. Pihak CAS akan mengeluarkan keputusan esok pagi (Khamis),” katanya.

Memandangkan ini kali ketiga Vinesh menyertai Sukan Olimpik, dia dijangka menjadi wanita India pertama dalam acaranya yang bakal membawa pulang pingat.

BACA: Ini Empat Negara Yang Hanya Hantar Seorang Atlet Di Olimpik Paris

Sumber: AFP, The Times Of India (1), (2) Hindustan Times, The Sun

BACA JUGA: Kekurangan Bukan Penghalang, Wanita OKU Pendengaran & Pertuturan Capai Impian Jadi Ketua Chef