Setiap kali atlet berjaya meraih pingat di temasya Olimpik, ada satu aksi yang sering menjadi perhatian ketika mereka berdiri di atas podium, iaitu menggigit pingat kemenangan masing masing.
Aksi berkenaan seolah olah sudah menjadi sebahagian daripada tradisi Olimpik apabila atlet daripada pelbagai negara dilihat menggigit pingat sambil tersenyum di hadapan kamera.
Namun, pernahkah anda terfikir mengapa atlet Olimpik gemar melakukan aksi tersebut? Adakah ia sekadar gaya bergambar atau sebenarnya mempunyai sejarah tersendiri?
Menariknya, tradisi itu bukanlah semata mata dilakukan atas kehendak atlet. Sebaliknya, jurugambar turut memainkan peranan dalam menjadikan aksi berkenaan sebagai satu imej ikonik dalam dunia sukan.

Mengapa Atlet Olimpik Menggigit Pingat?
Menurut Presiden Persatuan Sejarah Olimpik Antarabangsa, David Wallechinsky, antara sebab utama atlet menggigit pingat adalah kerana aksi tersebut menghasilkan gambar yang menarik.
Beliau berkata, jurugambar sering meminta pemenang pingat menggigit hadiah kemenangan mereka ketika berada di atas podium kerana imej berkenaan dianggap ikonik dan mempunyai nilai komersial.
“Perkara ini sudah menjadi satu obsesi dalam kalangan jurugambar. Saya fikir mereka melihatnya sebagai satu gambar ikonik yang mungkin boleh dijual. Saya tidak fikir atlet akan melakukannya sendiri,” katanya kepada CNN pada 2012.
Selain faktor fotografi, tradisi itu juga mempunyai kaitan dengan sejarah penggunaan emas tulen dalam pembuatan pingat.
Pada awal abad ke 20, pingat emas Olimpik diperbuat daripada emas tulen. Ketika itu, emas merupakan logam berharga yang digunakan dalam sistem kewangan antarabangsa.
Pedagang pada zaman dahulu mempunyai kebiasaan menggigit syiling emas untuk menguji ketulenannya. Ini kerana emas merupakan logam yang agak lembut berbanding logam berharga lain dan boleh meninggalkan kesan gigitan apabila dikenakan tekanan.
Bagaimanapun, Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) menghentikan pemberian pingat emas tulen pada 1912. Selepas itu, pingat emas yang diberikan diperbuat daripada perak dan disaluti emas.
Walaupun bahan pembuatannya sudah berubah, tradisi menggigit pingat itu terus kekal sehingga hari ini.
Siapa Individu Pertama Memulakan Tradisi Gigit Pingat?
Sehingga kini, tidak dapat dipastikan siapa atlet pertama yang memulakan aksi menggigit pingat dalam temasya Olimpik.
Menurut laporan Daily Mail, terdapat dakwaan bahawa tradisi tersebut mula mendapat perhatian selepas pasukan lari berganti ganti 4x400 meter Britain yang memenangi pingat emas pada Kejohanan Dunia 1991 melakukan aksi berkenaan.
Bagaimanapun, asal usul sebenar tradisi itu masih tidak dapat dipastikan.
Menjelang Sukan Olimpik Musim Sejuk 1994, aksi atlet menggigit pingat emas sudah mula kelihatan dalam gambar gambar kemenangan yang dirakamkan.

Bilakah Aksi Gigit Pingat Menjadi 'Popular' ?
Tradisi menggigit pingat semakin mendapat perhatian sepanjang era 1990 an sebelum menjadi lebih popular pada abad ke 21.
Perkembangan teknologi kamera serta peningkatan liputan acara sukan dipercayai menjadi antara faktor yang menjadikan aksi tersebut semakin kerap dirakam.
Selain itu, kemunculan media sosial turut memberikan lebih banyak peluang kepada atlet untuk berkongsi detik kemenangan masing masing dengan peminat.
Sebagai gambaran, Sukan Olimpik Musim Panas 2024 dan Sukan Olimpik Musim Sejuk 2026 menyaksikan ratusan acara perebutan pingat, sekali gus memberikan lebih banyak peluang untuk aksi berkenaan dirakam.
Adakah Atlet Menggigit Pingat Perak Dan Gangsa Juga?
Aksi menggigit pingat bukan hanya dilakukan oleh pemenang pingat emas.
Atlet yang meraih pingat perak dan gangsa juga ada melakukan aksi sama ketika meraikan kejayaan masing masing.
Antara contoh yang pernah dirakam ialah bekas atlet Olimpik Amerika Syarikat, Maya DiRado, yang menggigit pingat gangsa selepas menduduki tempat ketiga dalam acara 200 meter rampaian individu pada Sukan Olimpik Musim Panas 2016.
Justeru, tiada peraturan khusus yang menetapkan aksi tersebut hanya boleh dilakukan oleh pemenang pingat emas.
Awas, Menggigit Pingat Boleh Menyebabkan Gigi Patah
Walaupun kelihatan menarik dalam gambar, tindakan menggigit pingat sebenarnya mempunyai risiko terhadap kesihatan gigi.
Pingat emas dan perak Olimpik mengandungi sekurang kurangnya 92.5 peratus perak, manakala pingat emas turut disaluti sekurang kurangnya enam gram emas.
Sementara itu, pingat gangsa diperbuat daripada 90 peratus aloi tembaga dan 10 peratus zink.
Bahan logam yang keras itu boleh mendatangkan risiko kecederaan sekiranya digigit dengan kuat.
Pengalaman tersebut pernah dilalui atlet luncur berkereta salji Jerman, David Moeller, selepas memenangi pingat perak pada Sukan Olimpik Musim Sejuk 2010.
Moeller mengalami keretakan pada giginya ketika cuba menggigit pingat untuk memenuhi permintaan jurugambar.
“Jurugambar mahu gambar saya memegang pingat hanya menggunakan gigi. Kemudian, ketika makan malam, saya menyedari sebahagian kecil gigi saya sudah hilang,” katanya menurut laporan Olympics.com.
Adakah Pingat Olimpik Rosak Jika Digigit?
Walaupun pingat Olimpik bukanlah objek yang tidak boleh rosak, bahan logam yang digunakan menjadikannya agak kukuh dan sukar berubah bentuk akibat gigitan biasa.
Keadaan itu berbeza ketika pingat emas masih diperbuat daripada emas tulen kerana sifat logam tersebut yang lebih lembut dan mudah berubah bentuk apabila dikenakan tekanan.
Namun, pingat moden yang kebanyakannya menggunakan perak dan aloi logam lebih tahan terhadap tekanan sedemikian.
Tradisi Yang Masih Diteruskan Atlet Olimpik
Walaupun sudah berdekad lamanya, aksi menggigit pingat masih menjadi sebahagian daripada cara atlet meraikan kejayaan di podium.
Antara atlet yang turut melakukan aksi tersebut ialah jaguh Kazakhstan, Mikhail Shaidorov, selepas muncul juara acara perseorangan lelaki pada Sukan Olimpik Musim Sejuk 2026.
Walaupun pada asalnya dikaitkan dengan cara menguji ketulenan emas dan kemudiannya menjadi kegemaran jurugambar, aksi menggigit pingat kini terus menjadi antara imej yang sinonim dengan kejayaan atlet Olimpik.
Namun, di sebalik gambar yang kelihatan menarik itu, atlet juga perlu berhati hati kerana pingat kemenangan bukanlah sesuatu yang sesuai dijadikan bahan gigitan.

