OMODA | JAECOO Malaysia memperkukuh keupayaan teknikal rangkaian perkhidmatan selepas jualannya menerusi Pertandingan Kemahiran Teknikal OMODA | JAECOO 2026 bagi meningkatkan mutu perkhidmatan dan kepuasan pelanggan.
Syarikat itu dalam kenyataan bertarikh 11 Oktober memaklumkan pertandingan berkenaan menghimpunkan juruteknik daripada rangkaian pusat servisnya, dengan peserta dinilai melalui ujian teori dan praktikal.
Menurutnya, inisiatif itu menyediakan platform untuk juruteknik mengasah pengetahuan teknikal, keupayaan diagnostik serta kemahiran pembaikan seiring perkembangan teknologi kenderaan, selain menggalakkan standard keselamatan dan kualiti perkhidmatan yang tinggi.
Ketua OMODA | JAECOO Malaysia Chris Tan berkata kepuasan pelanggan menjadi teras usaha syarikat itu, termasuk dalam memastikan sokongan berterusan sepanjang tempoh pemilikan kenderaan.
“Pengalaman pemilikan yang baik tidak berakhir apabila pelanggan meninggalkan bilik pameran kami, sebaliknya berterusan melalui setiap interaksi dengan pasukan selepas jualan kami.
“Kami terus memperkukuh pengetahuan dan keupayaan mereka supaya pelanggan lebih yakin terhadap perkhidmatan serta sokongan yang diterima,” katanya dalam kenyataan itu.
Bertemakan “Sharpening Skills, Shaping Futures”, pertandingan berkenaan turut bertujuan mengiktiraf bakat teknikal cemerlang serta menggalakkan pembangunan profesional berterusan dalam kalangan juruteknik.
Menurut syarikat itu, usaha membangunkan tenaga teknikal berkemahiran merupakan sebahagian daripada komitmennya untuk memperkukuh keupayaan perkhidmatan seiring peluasan rangkaiannya.
OMODA | JAECOO Malaysia memaklumkan rangkaian pengedarnya mempunyai 56 cawangan di seluruh negara yang menyediakan sokongan jualan dan selepas jualan.

