Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Kerajaan Negeri Johor menggesa siasatan menyeluruh dijalankan terhadap operasi Network School di Forest City susulan kebimbangan yang dibangkitkan orang ramai, termasuk dakwaan terdapat individu warga Israel memasuki Malaysia menggunakan pasport negara kedua untuk menyertai program berkenaan.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kerajaan negeri memandang serius isu tersebut dan tidak akan membenarkan mana-mana pihak menjadikan Johor sebagai lokasi untuk membawa ideologi atau gerakan yang bercanggah dengan undang-undang, kedaulatan serta kepentingan negeri dan negara.
Katanya, kerajaan negeri telah meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta agensi keselamatan berkaitan menjalankan siasatan secara menyeluruh.
“Kerajaan Negeri Johor mengambil maklum dan memandang serius kebimbangan rakyat berhubung operasi Network School di Forest City, termasuk dakwaan terdapat warga Israel yang menyertai program tersebut menggunakan pasport negara kedua.
“Saya menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Johor tidak akan membenarkan mana-mana pihak menjadikan negeri ini sebagai tapak untuk membawa ideologi atau gerakan yang bercanggah dengan undang-undang, kedaulatan dan kepentingan Johor serta Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.
Menurut Onn Hafiz, siasatan itu perlu memberi tumpuan terhadap identiti dan kewarganegaraan individu yang terlibat, dokumen perjalanan serta penggunaan pasport kedua, jenis pas dan tujuan kemasukan ke Malaysia, selain memastikan aktiviti yang dijalankan selaras dengan tujuan kemasukan mereka ke negara ini.
Beliau berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Digital serta agensi kawal selia berkaitan turut diminta menentukan status sebenar operasi Network School, termasuk sama ada program yang dijalankan memerlukan pendaftaran atau kelulusan mengikut peruntukan undang-undang negara.
Di peringkat negeri pula, ujarnya, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Johor serta agensi berkaitan akan menyemak semua aspek pematuhan di bawah bidang kuasa masing-masing.
“Semakan meliputi pematuhan terhadap syarat lesen premis, penggunaan bangunan, syarat nyata dan syarat khas tanah, penginapan, aktiviti perniagaan serta apa-apa keperluan perundangan atau peraturan lain yang sedang berkuat kuasa,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap itu.
Menurut beliau, sekiranya siasatan mendapati berlaku pelanggaran undang-undang, penyalahgunaan pas, pelanggaran syarat lesen atau syarat tanah, mahupun sebarang unsur yang boleh menjejaskan kepentingan negeri dan keselamatan negara, tindakan tegas perlu diambil tanpa sebarang kompromi.
Tambahnya, Kerajaan Negeri Johor akan terus bertindak secara bertanggungjawab dan berlandaskan undang-undang bagi melindungi kepentingan negeri serta mempertahankan kedaulatan negara.