Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Malaysia secara rasmi melancarkan logo, tema dan maskot Sukan SEA 2027, sekali gus menandakan bermulanya persiapan negara sebagai tuan rumah temasya dwitahunan itu.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohamed Taufiq Johari, berkata pelancaran tersebut menjadi titik permulaan kepada perjalanan Malaysia ke arah penganjuran Sukan SEA edisi ke-34 pada 2027.
Katanya, maskot yang diberi nama Tuah diperkenalkan sebagai wira moden yang melambangkan keberanian, semangat kesukanan dan dinamisme Malaysia.
“Alhamdulillah, semalam kita akhirnya memperkenalkan maskot, logo dan tema temasya, bermakna bermulanya secara rasmi perjalanan negara ke arah penganjuran Sukan SEA 2027.
“Dengan mengambil pendekatan yang berani dan segar, kita memperkenalkan Tuah sebagai wira moden yang melambangkan keberanian, semangat kesukanan dan dinamisme Malaysia,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Menurut beliau, Tuah yang dihiasi warna Jalur Gemilang mencerminkan semangat yang ingin diketengahkan menerusi tema rasmi temasya, ‘Raikan Perpaduan’ atau ‘Celebrating Unity’.
Katanya, penggunaan warna-warna Jalur Gemilang bukan sekadar melambangkan identiti negara, malah diharap dapat menyuntik semangat kepada seluruh atlet Malaysia untuk mengharumkan nama negara di pentas Sukan SEA.
“Warna-warna Jalur Gemilang yang menghiasi Tuah bukan sekadar melambangkan identiti negara, tetapi diharap akan meresap kepada seluruh atlet kita dan memberi semangat kepada mereka untuk merangkul kemenangan,” katanya.
Dalam pada itu, Dr Mohamed Taufiq turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat menjayakan usaha berkenaan, daripada peringkat perancangan sehingga majlis pelancaran.
Ujarnya, beliau berharap segala persiapan menjelang Sukan SEA 2027 dapat berjalan lancar.
Sementara itu, tema ‘Raikan Perpaduan’ dipilih sebagai tunjang identiti rasmi Sukan SEA Malaysia 2027 yang mencerminkan semangat perpaduan sebagai kekuatan utama Malaysia dan negara-negara ASEAN.
Tema tersebut diharap mampu menyatukan rakyat serta atlet dari seluruh rantau menerusi semangat kesukanan, persahabatan dan persaingan sihat sepanjang temasya berlangsung.
Maskot Tuah pula diperkenalkan sebagai simbol generasi baharu Malaysia yang berani, dinamik, berkeyakinan dan mudah didekati.
Nama Tuah membawa maksud kejayaan, kecemerlangan serta keberuntungan yang dicapai melalui usaha, disiplin, ketekunan, kesetiaan dan perpaduan.