Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Albert Tei Batal Tanding Lawan Anthony Loke, Pilih Bantu Kempen BN Negeri Sembilan

ANTHONY
Kredit: Bernama

Albert Tei Batal Tanding Lawan Anthony Loke, Pilih Bantu Kempen BN Negeri Sembilan

Usahawan kontroversi, Albert Tei, mengumumkan tidak akan bertanding menentang Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Sebaliknya, beliau memutuskan untuk memberi sokongan penuh kepada calon Barisan Nasional (BN) serta membantu kempen gabungan itu sepanjang tempoh PRN.

Tei berkata, keputusan tersebut dibuat selepas mengadakan pertemuan dengan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, bagi membincangkan persiapan menghadapi pilihan raya serta strategi kempen BN.

Menurutnya, hasil perbincangan itu, beliau menarik balik hasrat untuk bertanding di DUN Chennah dan memilih menyokong calon BN, John Siow.

Katanya, Siow merupakan calon yang dekat dengan masyarakat akar umbi serta mempunyai kredibiliti untuk mewakili kawasan tersebut.

“Saya juga telah memaklumkan kepada John Siow bahawa saya akan berdiri bersama beliau pada hari penamaan calon 18 Julai ini dan akan melakukan segala yang termampu bagi membantu BN merampas kerusi Chennah daripada Anthony Loke,” katanya menerusi satu hantaran di Threads.

Tei berkata, beliau turut berjanji kepada Wee Ka Siong untuk membantu berkempen bagi semua calon BN sepanjang tempoh rasmi berkempen bermula 18 hingga 31 Julai ini.

Ujarnya, beliau mahu berkongsi pandangannya mengenai prestasi kepimpinan Pakatan Harapan (PH), khususnya DAP, kepada pengundi di Negeri Sembilan.

“Saya tidak sabar untuk memberitahu rakyat Negeri Sembilan mengenai apa yang saya percaya sebagai kegagalan, kelemahan dan kesilapan dilakukan pemimpin Pakatan Harapan, khususnya DAP.

“Pesanan saya kepada rakyat Malaysia mudah, jika anda menghargai keamanan, kesejahteraan dan kestabilan negara, jauhilah Pakatan Harapan,” katanya.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang lalu, MCA mencatat peningkatan prestasi apabila menggandakan jumlah kerusi dimenangi daripada empat kepada lapan berbanding pilihan raya negeri pada 2022.

Selain mempertahankan kerusi Yong Peng, Paloh, Bekok dan Pekan Nanas, MCA turut merampas kerusi Tangkak, Jementah, Johor Jaya dan Layang-Layang.