Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Op Chiller: Produk Sejuk Beku, Aset Bernilai RM24.15 Juta Dirampas Di Sabah

BEKU
Hasil rampasan dalam operasi Op Chiller

Op Chiller: Produk Sejuk Beku, Aset Bernilai RM24.15 Juta Dirampas Di Sabah

Polis Diraja Malaysia (PDRM) merampas pelbagai produk sejuk beku, aset dan peralatan bernilai keseluruhan RM24.15 juta menerusi Op Chiller yang dijalankan di 11 daerah di Sabah, Rabu lalu.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, operasi itu dilaksanakan oleh Briged Sabah Pasukan Gerakan Am (PGA) menerusi 14 serbuan antara pukul 8 pagi hingga 6 petang.

Menurut beliau, operasi berkenaan melibatkan kawasan di Kota Kinabalu, Papar, Penampang, Tawau, Keningau, Semporna, Sandakan, Beluran, Lahad Datu, Sook dan Sipitang.

“Kita telah menahan seramai 21 individu berusia antara 20 hingga 66 tahun, termasuk 19 warga tempatan dan dua warga asing bagi membantu siasatan.

“Hasil operasi itu, pasukan berjaya merampas pelbagai produk sejuk beku bernilai RM10.35 juta melibatkan nugget, sosej, daging import, daging kambing, daging ayam, ikan serta organ dalaman lembu,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Mohd Yusri berkata, pihaknya turut menyita aset bernilai RM13.8 juta membabitkan 11 unit chiller pelbagai jenama berkapasiti 700 liter, 24 unit bilik sejuk pelbagai saiz selain beberapa kenderaan dan peralatan.

“Nilai keseluruhan rampasan dan sitaan adalah sebanyak RM24.15 juta,” katanya.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan turut mengesan pelbagai kesalahan di bawah Enakmen Haiwan 2015, Akta Makanan 1983, Akta Kawalan Bekalan 1961 serta beberapa undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan.

Menurutnya, semua individu yang ditahan bersama barangan rampasan telah diserahkan kepada agensi berkaitan bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut.

“PDRM komited dan konsisten dalam membanteras aktiviti penyeludupan, penyimpanan serta pemprosesan produk sejuk beku dan kesalahan-kesalahan lain khususnya di Sabah.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti ini diminta menyalurkannya kepada pihak PDRM,” ujarnya.