Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Jumlah profil yang berdaftar dalam Pangkalan Data Utama (PADU) adalah seramai 30.7 juta orang setakat ini.
Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, di Dewan Rakyat pada Khamis.
Menurutnya, sehingga kini PADU mengandungi 30.7 juta profil individu warganegara dan pemastautin tetap di Malaysia.
Sistem itu dikemas kini secara berterusan melalui pengintegrasian data daripada 204 agensi.
"Keterangkuman, ketersediaan dan kualiti data PADU akan terus ditambah baik bagi memastikan maklumat yang dihasilkan adalah tepat dan relevan.
"Kementerian Ekonomi telah memfokuskan perkongsian data PADU untuk penggunaan agensi kerajaan bermula dengan edaran Garis Panduan Perkongsian PADU pada Februari 2025," ujarnya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Kuala Kangsar Datuk Iskandar Dzulkarnain berkenaan PADU.

Ujarnya lagi, sehingga Jun 2026, sebanyak 27 permohonan perkongsian data telah diluluskan bagi menyokong perancangan dasar, reka bentuk program, semakan dan verifikasi maklumat, pendigitalan perkhidmatan serta pelaksanaan kajian dan penyelidikan.
Antara agensi yang telah memanfaatkan data PADU termasuk Kementerian Kewangan, Jabatan Pembangunan Kemahiran, Jabatan Pendidikan Tinggi, Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia dan Perbadanan Putrajaya.
Akmal berkata pada tahun ini, PADU terus berfungsi sebagai back end kepada perkhidmatan kerajaan yang menyediakan perkhidmatan profil (Profile-as-a-Service), data (Data-as-a-Service) dan analitik(Analytics-as-a-Service).
"Sehubungan dengan itu, Kementerian Ekonomi menyediakan perkhidmatan analitik PADU mulai Mei 2026 bagi membantu agensi kerajaan memperkukuh perancangan dasar dan pelaksanaan program.
"Pada masa yang sama, PADU turut dimanfaatkan sebagai satu pendekatan strategik keseluruhan kerajaan dalam menyokong agenda reformasi perkhidmatan awam, selaras dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) dan kerangka Ekonomi MADANI," jelasnya.
Tambahnya lagi, inisiatif ini akan meningkatkan keberkesanan pelaksanaan program serta mengoptimumkan penggunaan sumber oleh agensi kerajaan.