Pakistan dilapor menggunakan teknologi perisikan canggih yang biasa diguna untuk memburu militan atau sasaran berprofil tinggi di dalam atau diluar negara untuk menjejaki pesakit COVID-19 dan kontak rapat mereka.
Menurut laporan portal berita antarabangsa, langkah berkenaan diambil susulan keputusan kerajaan yang mahu melonggarkan perintah berkurung dan melakukan kawalan secara bersasar bagi membolehkan sektor ekonomi dihidupkan semula.
Teknologi berkenaan yang dimiliki oleh Inter Services Intelligence (ISI) itu dipercayai berfungsi berdasarkan data yang dikumpul daripada telefon bimbit pengguna serta secara ‘geo-facing’.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan minggu lepas, tentera Pakistan dilaporlan berkata, pihak tentera akan menggunakan semua sumber yang ada bagi membantu kerajaan melawan pandemik berkenaan dan keputusan itu disokong penuh oleh pentadbiran tertinggi pasukan bersenjata negara tersebut.
Salah satu sumber berkata, pasukan berkenaan mempunyai sistem pengitipan berkeupayaan tinggi antaranya mampu mengesan pesakit yang bergerak meninggalkan kawasan kuarantin yang ditetapkan.
Ia juga dilaporkan sangat efektif setakat ini untuk memburu pesakit-pesakit yang menyembunyikan diri.
”ISI membantu kami untuk melakukan tugas mengesan pesakit COVID-19 dengan lebih berkesan. Teknologi ini sebenarnya untuk tujuan perisikan dan kini terbukti mampu membantu kerajaan melawan pandemik,” kata Perdana Menteri, Imran Khan.
Berdasarkan data Worldometer, Pakistan setakat hari ini mencatatkan sebanyak 61,227 kes positif dan 1,260 kematian angkara COVID-19.
Pakistan mempunyai populasi penduduk sekitar 212 juta orang.
Sumber: Telegraph UK

