Paramount Cup Kembali Lebih Besar, Lebih Meriah Dengan Tumpuan Kepada Komuniti
Susulan kejayaan edisi sulungnya, Paramount Property hari ini melancarkan Paramount Cup 2026 yang kembali dengan penyertaan lebih besar, kategori junior yang diperluas serta tumpuan lebih kukuh terhadap komuniti. Bakal berlangsung dari 22 hingga 25 Oktober 2026 di PLAYA Racquet Club @ PARC Subang, kejohanan ini dijangka menarik lebih 900 peserta dan menawarkan hadiah keseluruhan bernilai lebih RM110,000, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara kejohanan pickleball utama di Malaysia.
Edisi kedua ini memperkenalkan lapan kategori junior baharu iaitu Perseorangan dan Beregu Campuran Bawah 10 Tahun (B-10), Perseorangan dan Beregu Campuran B-12, Perseorangan dan Beregu Campuran B-14, serta Perseorangan dan Beregu Lelaki B-16. Penambahan kategori ini mencerminkan komitmen Paramount Property untuk memupuk bakat muda serta membuka lebih banyak peluang kepada generasi baharu untuk menyertai sukan ini.
Paramount Cup 2026 turut membawa impaknya melangkaui gelanggang dengan menjadikan setiap pendaftaran satu peluang untuk menyumbang kepada masyarakat. Bagi setiap peserta yang mendaftar, PLAYA akan menyumbang RM5 daripada yuran pendaftaran kepada Shelter Home for Children, dengan Paramount Property memadankan sumbangan tersebut ringgit demi ringgit. Inisiatif ini menyatukan pemain, PLAYA dan Paramount Property dalam usaha bersama untuk mencipta impak sosial positif melalui sukan. Sepanjang hujung minggu kejohanan, bazar selama tiga hari turut akan diadakan, menawarkan pelbagai makanan dan aktiviti mesra keluarga untuk dinikmati pemain, keluarga serta pengunjung.

“Di Paramount Property, janji kami sebagai The People’s Developer membentuk segala yang kami lakukan. Ia mendorong kami untuk mewujudkan ruang yang membolehkan masyarakat menjalani kehidupan yang lebih baik, kekal aktif dan membina hubungan bermakna. Paramount Cup adalah kesinambungan daripada komitmen ini dengan menghimpunkan masyarakat daripada pelbagai peringkat umur melalui sukan, kesejahteraan dan pengalaman bersama,” kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Paramount Corporation Berhad, Beh Chun Chong.
“Tahun ini, kami membawa kejohanan ini selangkah lebih jauh menerusi inisiatif amal yang mencerminkan komitmen kelestarian kami di bawah teras Memperkaya Insan dan Komuniti. Ia memberi peluang kepada setiap peserta untuk menjadi sebahagian daripada usaha yang bermakna dan menunjukkan bagaimana tindakan kecil, apabila dilakukan bersama-sama, mampu menghasilkan impak sosial yang berkekalan,” tambah beliau.
PLAYA Racquet Club kembali sebagai Rakan Lokasi kejohanan selepas berjaya menjadi tuan rumah edisi sulung pada 2025. Sebagai destinasi sukan raket berkonsepkan gaya hidup pertama di Malaysia, PLAYA mempunyai sembilan gelanggang tertutup serta 14 gelanggang luar dan berbumbung, selain kemudahan makanan dan minuman, ruang runcit serta kemudahan mesra keluarga.

“Kami membangunkan PLAYA Racquet Club sebagai lebih daripada sekadar tempat untuk bermain. Ia adalah tempat di mana orang ramai boleh berkumpul melalui minat yang sama terhadap sukan,” kata Pengarah PLAYA Racquet Club, Brian Choo. “Menjadi tuan rumah Paramount Cup sekali lagi menunjukkan sejauh mana kami telah berkembang dan kami masih mempunyai banyak lagi yang mahu dicapai.”
Satu lagi perkembangan penting tahun ini ialah pengiktirafan rasmi Paramount Cup 2026 sebagai pusingan kelayakan APP Asia, hasil kerjasama erat PLAYA Racquet Club dengan Association of Pickleball Professionals (APP), antara organisasi pickleball profesional terkemuka dunia.
Pengiktirafan itu membuka laluan kepada pemain tempatan untuk melangkah ke pentas antarabangsa. Pemain yang mencatat prestasi baik di Paramount Cup bukan sahaja akan bersaing untuk merebut pingat dan hadiah wang tunai, malah berpeluang melayakkan diri ke kejohanan dalam jelajah APP.

“Ini merupakan satu perkembangan besar bagi sukan pickleball di Malaysia. Melalui kerjasama PLAYA dengan APP, pemain tempatan kini mempunyai laluan sebenar untuk bersaing di pentas antarabangsa. Kami berharap peluang ini akan memberi inspirasi kepada lebih ramai pemain, daripada mereka yang baru berjinak-jinak dengan sukan ini hinggalah pemain berpengalaman untuk mendaftar dan menjadi sebahagian daripada kejohanan ini,” kata Choo.
Majlis pelancaran dimulakan dengan gimik letupan belon yang melepaskan belon-belon mini bagi memeriahkan acara, sebelum diteruskan dengan perlawanan pertunjukan di gelanggang sebagai simbolik servis pertama kejohanan. Wakil Paramount Property dan PLAYA berganding dalam aksi rali pantas yang mendapat sorakan penonton sejak mata pertama, sekali gus memberikan gambaran awal tentang kemeriahan yang bakal menanti pada Oktober ini.
Kejohanan itu sekali lagi akan diselia oleh Pengarah Kejohanan bertauliah PPA bagi memastikan piawaian antarabangsa dalam aspek pengadilan, pengurusan pertandingan dan pengalaman pemain. Pertandingan akan merangkumi kategori perseorangan, beregu, beregu campuran dan berpasukan untuk pelbagai kumpulan umur serta tahap kemahiran, daripada pemain baharu hingga mereka yang berpengalaman.

Antara penaja yang menyokong Paramount Cup 2026 ialah Auto Bavaria BMW sebagai Rakan Automotif, Mercure Kuala Lumpur Glenmarie sebagai Rakan Hotel, Sports Sync dan iMedia, dengan pengumuman kerjasama tambahan akan dibuat dalam minggu-minggu akan datang.
Pendaftaran Paramount Cup 2026 telah dibuka pada 15 Ogos 2026, dengan tawaran awal diskaun 15 peratus daripada yuran penyertaan biasa sehingga 5 September 2026. Yuran penyertaan bagi kategori dewasa ialah RM360 bagi setiap pasukan atau RM200 untuk Perseorangan Terbuka, manakala kategori junior ditawarkan pada RM150 untuk Perseorangan dan RM300 untuk Beregu.
Senarai penuh kategori pertandingan dan jadual kejohanan boleh didapati menerusi akaun Instagram rasmi Paramount Cup: theparamountcup.
