Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menafikan dakwaan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bahawa PAS mengadakan rundingan dengan Barisan Nasional (BN) berhubung kerjasama bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan tanpa pengetahuan parti-parti komponen lain.
Menerusi satu kenyataan hari ini, Samsuri berkata, beliau sendiri memberikan kebenaran terhadap rundingan awal tersebut selaku Pengerusi PN dan segala proses berkenaan telah dimaklumkan kepada kepimpinan gabungan itu.
Menurut beliau, perkara berkenaan turut dimuktamadkan serta diluluskan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang berlangsung hari ini.
“Merujuk kepada kenyataan Presiden Bersatu semalam, adalah dimaklumkan bahawa segala proses perbincangan dan libat urus dengan mana-mana pihak di peringkat awal telah dijalankan dengan pengetahuan dan kebenaran daripada saya selaku Pengerusi PN.
“Ianya telah pun dimuktamadkan dan diluluskan oleh Majlis Tertinggi PN pada mesyuarat hari ini,” katanya.
Naib Presiden PAS itu berkata, Majlis Tertinggi PN turut meluluskan rundingan pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan melibatkan parti-parti komponen gabungan itu iaitu PAS, Gerakan, Parti Maju India Malaysia (MIPP) dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Wawasan).
Katanya, mesyuarat tersebut juga memutuskan semua calon PN pada PRN Negeri Sembilan akan bertanding menggunakan logo rasmi gabungan itu.
“Jumlah dan senarai calon PN juga akan diumumkan hari ini,” katanya.
Semalam, Muhyiddin dilaporkan mengecam PAS kerana didakwa mengadakan rundingan dengan BN tanpa terlebih dahulu berbincang atau mendapatkan persetujuan Majlis Tertinggi PN.
Menurut Muhyiddin, tindakan itu bertentangan dengan kepentingan gabungan berkenaan dan menyebabkan Bersatu berasa kecewa.
Susulan itu, Bersatu mengumumkan akan bertanding menggunakan logo sendiri pada PRN Negeri Sembilan, dengan Muhyiddin memaklumkan beberapa parti lain turut menyatakan hasrat untuk menggunakan lambang parti tersebut.
Sebelum ini, PAS memutuskan hubungan politik dengan Bersatu, namun kedua-dua parti masih kekal sebagai komponen PN dan menggunakan logo gabungan itu pada PRN Johor.
Bagaimanapun, PAS tidak terlibat dalam membantu kempen Bersatu sepanjang pilihan raya berkenaan, malah mengarahkan ahli serta penyokongnya memberi sokongan kepada BN di kawasan yang tidak ditandingi PN, tindakan yang menurut Muhyiddin tidak pernah mendapat kelulusan Majlis Tertinggi PN.