Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Pasangan Suami Isteri Keracunan Selepas Makan Kulat Beracun
Sepasang suami isteri dikejarkan ke hospital selepas dipercayai mengalami keracunan makanan akibat termakan kulat beracun yang disangka sebagai kulat tahun.
Menurut perkongsian Pengerusi Briged Sukarela Yayasan Jariah Malaysia (BSYJM), Mahadzir Abd Hamid di Facebook, pasangan itu menjadikan kulat berkenaan sebagai hidangan makan tengah hari tanpa menyedari ia berbahaya.
Tidak lama selepas memakannya, kedua-dua mangsa mengalami muntah dan cirit-birit yang teruk sebelum keadaan mereka semakin lemah.
Pusat Operasi dan Menyelamat Pasukan Bomba bersama Briged Sukarela Yayasan Jariah Malaysia (BSYJM) menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.40 petang sebelum menggerakkan dua ambulans ke rumah mangsa di Kampung RTP Padang Besar, Padang Cicak, Mukim Jeneri, Sik.
Pasukan penyelamat tiba di lokasi kira-kira 12 minit kemudian dan mendapati kedua-dua mangsa telah rebah di dalam bilik air dalam keadaan sangat lemah.
Menurut Mahadzir, keadaan di dalam rumah turut dipenuhi sisa muntah dan najis akibat keracunan yang dialami pasangan berkenaan.
Seramai lima anggota BSYJM kemudian menjalankan operasi menyelamat menggunakan peralatan khas bagi membawa keluar kedua-dua mangsa.
Bagaimanapun, operasi berdepan cabaran kerana pasangan itu merupakan individu obesiti dengan anggaran berat keseluruhan sekitar 280 kilogram, selain ruang rumah yang sempit menyukarkan proses menyelamat.
Proses mengeluarkan kedua-dua mangsa dari rumah mengambil masa kira-kira 20 minit sebelum mereka dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Sik untuk menerima rawatan lanjut.
Mahadzir turut merakamkan penghargaan kepada penduduk kampung yang tampil membantu mengangkat mangsa sepanjang operasi dijalankan.
Operasi menyelamat berakhir pada pukul 7 malam.