Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Pasport Baharu 5 & 10 Tahun Bermula 1 Julai, Ini Kadar Fi Yang Anda Perlu Tahu

PASPORT
Kredit: Bernama

Pasport Baharu 5 & 10 Tahun Bermula 1 Julai, Ini Kadar Fi Yang Anda Perlu Tahu

Orang ramai yang bercadang memperbaharui atau membuat permohonan baharu Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) kini boleh memilih tempoh sah laku selama lima tahun atau 10 tahun, bermula 1 Julai 2026.

Menurut Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), pengenalan struktur baharu itu memberi lebih banyak pilihan kepada pemohon berdasarkan kategori kelayakan yang ditetapkan.

JIM memaklumkan, kadar fi permohonan pasport baharu berbeza mengikut tempoh sah laku serta kategori pemohon.

Bagi pemohon berumur 18 hingga 59 tahun, kadar fi ditetapkan sebanyak RM200 untuk tempoh lima tahun dan RM350 bagi tempoh 10 tahun.

Bagi kategori 13 hingga 17 tahun, hanya tempoh lima tahun ditawarkan dengan kadar fi sebanyak RM200.

Sementara itu, warga emas berusia 60 tahun ke atas pula dikenakan fi RM100 untuk tempoh lima tahun dan RM175 bagi tempoh 10 tahun.

Menurut JIM, kategori khas seperti kanak-kanak bawah 12 tahun, pelajar bawah 21 tahun yang mengikuti pengajian ijazah sarjana muda di luar negara serta jemaah haji turut menikmati kadar fi lebih rendah iaitu RM100 bagi tempoh lima tahun.

Dalam masa sama, golongan Orang Kurang Upaya (OKU) juga diberikan pengecualian fi mengikut syarat kelayakan tertentu.

Selain permohonan baharu, JIM berkata orang ramai juga perlu mengambil maklum bahawa kadar fi penggantian pasport adalah lebih tinggi dan bergantung kepada jumlah kehilangan atau penggantian yang dibuat.

Bagi kehilangan pertama untuk pasport lima tahun, fi penggantian boleh mencecah RM400, manakala kehilangan kedua meningkat kepada RM700 dan kali ketiga serta seterusnya sebanyak RM1,200.

Untuk pasport 10 tahun pula, kadar fi penggantian bagi kehilangan pertama ialah RM550, diikuti RM850 untuk kali kedua dan RM1,350 bagi kali ketiga dan seterusnya.

JIM menasihatkan orang ramai supaya membuat semakan awal berkaitan kategori pemohon, tempoh sah laku serta kadar bayaran sebelum hadir mengemukakan permohonan.

Katanya, langkah itu penting bagi memastikan proses permohonan berjalan lebih lancar dan mengelakkan sebarang kekeliruan.