Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) kini tampil dengan struktur baharu yang dilengkapi 94 ciri keselamatan terbaharu, hampir dua kali ganda berbanding 49 ciri yang digunakan sebelum ini.
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail berkata, penambahbaikan itu dilakukan bagi memastikan dokumen perjalanan negara terus memenuhi standard keselamatan tertinggi serta lebih sukar dipalsukan.

Menurut beliau, langkah itu bukan sekadar untuk memberi wajah lebih moden kepada pasport Malaysia, sebaliknya bagi memastikan ia kekal diyakini dan dihormati oleh pihak berkuasa di seluruh dunia.
“Pasport baharu ini dilengkapi 94 ciri keselamatan berbanding hanya 49 sebelum ini.
“Penambahbaikan ini penting bagi memastikan pasport negara terus berada pada standard keselamatan yang tinggi, lebih sukar dipalsukan serta kekal dipercayai di peringkat antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.
Saifuddin berkata, antara ciri keselamatan baharu yang diperkenalkan termasuk penggunaan halaman data polikarbonat penuh yang menawarkan daya tahan lebih tinggi.
Katanya, pasport itu turut dilengkapi cip biometrik bersepadu yang membolehkan pengesahan cap jari dan profil wajah dilakukan secara serentak.
Selain itu, menurutnya, elemen teks mikro turut diperkenalkan bagi memaparkan aksara bersaiz halus untuk mengelakkan replikasi digital.
Tambah beliau, struktur baharu itu juga menampilkan ciri transparent window, nombor siri bertebuk laser, corak guilloche, hologram dinamik sensitif sudut, corak tersembunyi beresolusi tinggi serta ciri keselamatan UV yang lebih kompleks.
“Matlamat kita jelas, kita mahu setiap rakyat Malaysia memiliki dokumen perjalanan yang bukan sahaja lebih berkualiti dan tahan lama, malah menawarkan tahap keselamatan terbaik mengikut perkembangan teknologi semasa,” ujarnya.
Dalam pada itu, Saifuddin menegaskan orang ramai tidak perlu tergesa-gesa untuk menukar pasport sedia ada selagi dokumen berkenaan masih sah digunakan.
“Gunakan pasport sedia ada sehingga tamat tempoh. Apabila tiba masanya nanti, anda akan menerima pasport baharu dengan ciri keselamatan yang dipertingkatkan,” katanya.