Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Peka Perubahan Cuaca, Siap Sedia Hadapi Fenomena Super El Nino - Pakar
KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan sentiasa peka dengan perubahan cuaca semasa dan bersiap sedia menghadapi fasa peralihan fenomena cuaca melampau, susulan jangkaan fenomena “Super El Nino” penghujung tahun ini.
Pengarah Pusat Iklim Nasional Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Dr Ahmad Fairudz Jamaluddin berkata pemantauan model ramalan cuaca dunia menunjukkan kebarangkalian tinggi untuk berlaku peningkatan suhu permukaan laut secara drastik di Lautan Pasifik.
“Secara amnya sekarang kita sudah memasuki fasa El Nino lemah dan bagi bulan-bulan akan datang ia dijangka semakin menguat. Kebanyakan model juga menjangkakan terdapat potensi untuk fenomena ini berkembang menjadi Super El Nino.
“Jika Super El Nino berlaku pada hujung tahun ini atau awal tahun depan, Malaysia berkemungkinan mengalami keadaan cuaca yang hampir sama seperti El Nino kuat yang direkodkan pada 1997 hingga 1998 serta 2015 hingga 2016, yang memberi kesan besar kepada kehidupan rakyat dan aktiviti ekonomi negara,” katanya.
Ahmad Fairudz berkata demikian ketika menjadi tetamu program Jendela Fikir bertajuk “Kesiapsiagaan Menghadapi El Nino” terbitan Bernama Radio di sini hari ini.
Mengimbas fenomena itu pada 1997 dan 1998, beliau berkata ia bukan sahaja mencatatkan rekod suhu tertinggi mencecah 40.1 darjah Celsius, malah mengakibatkan beberapa kawasan seperti di Sarawak diisytiharkan darurat akibat krisis jerebu yang teruk.
“Impak serupa turut dikesan pada 2015 dan 2016 apabila lebih 250 sekolah di wilayah utara Semenanjung terpaksa ditutup sementara akibat bacaan suhu harian yang melampau melebihi 37 darjah Celsius,” katanya.
Mengenai situasi semasa, Ahmad Fairudz berkata Monsun Barat Daya yang berlangsung ketika ini turut membawa implikasi awal terhadap pengurangan taburan hujan yang ketara di beberapa negeri.
“Kawasan seperti selatan Semenanjung, utara Sarawak dan timur Sabah diramal mengalami pengurangan hujan sehingga 40 peratus manakala wilayah selatan Sarawak berisiko mengalami penyusutan sehingga 60 peratus daripada taburan normal.
“Bagi mengurangkan impak krisis air, MetMalaysia dengan kerjasama agensi berkaitan telah melaksanakan operasi pembenihan awan secara berkala di kawasan empangan utama yang mula menunjukkan penyusutan paras simpanan air,” katanya.
Beliau berkata operasi itu tetap berhadapan cabaran besar jika atmosfera terlalu kering atau ruang udara diselubungi jerebu tebal.
Beliau berkata MetMalaysia menjalankan pemerhatian secara berterusan terhadap suhu permukaan laut, indeks El Nino serta pelbagai model ramalan cuaca yang membolehkan unjuran keadaan cuaca sehingga enam bulan ke hadapan dibuat dengan lebih tepat.
“MetMalaysia turut menggunakan Sistem Risiko Bahaya Kebakaran (FDRS) Malaysia bagi mengenal pasti kawasan yang berisiko tinggi mengalami kebakaran hutan dan tanah gambut terutama ketika cuaca panas serta kering.
“Kita juga mengeluarkan pelbagai laporan serta amaran berkaitan cuaca panas dan kemarau selain laporan sektor agrometeorologi secara berkala bagi membantu rakyat serta agensi kerajaan membuat persediaan lebih awal,” katanya.
Ahmad Fairudz berkata MetMalaysia mengadakan kira-kira 70 sesi taklimat dan libat urus dengan kementerian, agensi Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri serta pihak berkepentingan bagi memastikan langkah mitigasi dan adaptasi dapat dilaksanakan sebelum kesan El Nino menjadi lebih ketara.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa mengikuti maklumat cuaca daripada sumber rasmi, khususnya MetMalaysia, mengamalkan langkah penjimatan air dan elektrik, mengurangkan aktiviti luar ketika cuaca panas melampau serta mengelakkan pembakaran terbuka bagi mengurangkan risiko kesan fenomena itu.