Pelabur mewah dan bernilai bersih tinggi di Malaysia semakin menggunakan perkakas AI untuk kewangan dan pelaburan, tetapi mereka masih bergantung kepada pemantauan kritikal yang ditawarkan oleh perkhidmatan profesional dari manusia. Ini menjelaskan mengapa lebih daripada separuh, atau 58% masih ingin melihat sinergi manusia-AI ketika mengambil keputusan kewangan.
Tinjauan baharu terhadap kira-kira 10,000 individu mewah dan bernilai bersih tinggi di 10 pasaran, dikomisyen oleh HSBC dan dikendalikan oleh Ipsos, menunjukkan bahawa AI kini menjadi perkakas yang sering digunakan oleh kelompok pelabur tersebut. Malaysia tersenarai antara tiga pasaran utama yang menggunakan AI untuk kewangan dengan kadar 85%, setara dengan tanah besar China (85%) dan didahului hanya oleh India (86%). Selain daripada kewangan, pelabur juga menggunakan AI untuk kerjaya (64%) dan pembangunan peribadi (64%).
Meskipun tahap kecenderungan menggunakan AI untuk urusan kewangan adalah tinggi, para pelabur masih memilih profesional dan institusi kewangan sebagai sumber utama idea pelaburan (65%) dan faktor paling berpengaruh dalam keputusan pelaburan (39%), hampir dua kali ganda pengaruh perkakas AI (16%).
Apabila ditanya mengapa pelabur bergantung kepada profesional dan institusi kewangan ketika membuat keputusan kewangan, 85% menyatakan keyakinan yang diberi manakala 76% menyatakan kepakaran strategik yang ditawarkan. Ini termasuk kebolehan mengesan kesilapan dalam data janaan AI (31%), menyediakan tafsiran peribadi terhadap data kompleks (31%) dan menilai serta mengesah (30%).
Ketua Kekayaan Antarabangsa dan Perbankan Premier HSBC Malaysia Linda Yip berkata: “Teknologi memberi kelajuan, tetapi jalinan sesama manusia memberi kepercayaan. Masa hadapan perbankan terletak pada kerjasama lancar antara dapatan pacuan AI dengan kepakaran manusia. Dengan memadankan analitik maju dengan perhubungan manusia, kami berhasrat membantu klien kami dengan keyakinan untuk memahami, melabur dan memburu pertumbuhan di landskap kewangan yang semakin kompleks.”
Daripada beberapa generasi yang ditinjau, Gen-Z (berusia 21-29 tahun) dan Millennial (berusia 30-45 tahun) didapati pengguna paling tegar AI untuk membuat keputusan kewangan dan pelaburan, masing-masing pada kadar 86% dan 89%, diikuti Generasi X (dari 46 ke 61 tahun) pada 85% dan Baby Boomer (berusia 62-69 tahun) pada 78%.
Walaupun penggunaan AI adalah tinggi rentas generasi, data menunjukkan bahawa ini tidak mengurangkan peri penting nasihat profesional untuk mana-mana kelompok umur. 58% responden berkata pendekatan ideal dalam mengambil keputusan kewangan pada masa hadapan diterajui oleh kerjasama Manusia-AI. Untuk Gen Z, ini termasuk menganalisis prestasi portfolio (61%) dan menjana idea pelaburan baharu (57%); untuk generasi Millennial, pola yang sama dilihat, pada kadar 53% untuk kedua-dua tugas yang sama.
Penggunaan AI juga didapati berkait dengan perubahan sentimen dalam kalangan pelabur. 57% responden berkata AI menjadikan mereka berasa lebih berupaya mengawal pelaburan, manakala 21% berkata AI menjadikan mereka berasa kurang mengawal pelaburan. Lebih daripada separuh (54%) berkata AI menjadikan mereka lebih yakin mengambil risiko terhitung - lebih daripada dua kali ganda responden (25%) yang menyatakan AI membuatkan mereka lebih berhati-hati.
HSBC Malaysia kini memajukan pendekatan hibrid manusia–AI dengan memperkenalkan Wealth Intelligence, platform yang berasaskan AI generatif dan berupaya menganalisis dan merumuskan dapatan daripada sumber-sumber data. Ini termasuk perspektif rasmi Pejabat Ketua Pelaburan HSBC, ulasan pasaran dan analisis komprehensif dana saham amanah, bagi membantu Pengurus Perhubungan membentuk perbincangan dengan klien secara lebih berkesan dan bernilai.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen HSBC kepada pembangunan solusi AI berinovasi untuk klien serta rakan sekerja. Dengan memperkukuh peranan Pengurus Perhubungan melalui dapatan diperibadikan dan berpacukan data, HSBC berhasrat membantu Pengurus Perhubungan melengkapkan pelanggan dengan maklumat yang sesuai masa, relevan, dan praktikal untuk membantu perbincangan yang mendasari keputusan pelaburan mereka. Wealth Intelligence menjana perspektif untuk kegunaan dalaman oleh Pengurus Perhubungan dan tidak menyediakan nasihat atau syor pelaburan kepada pelanggan.

