
Pelajar IPTS Warga Asing Dikhuatiri Lemas
KUALA TERENGGANU, 16 Feb (Bernama) -- Seorang pelajar institut pengajian tinggi swasta (IPTA) lelaki warga Myanmar dikhuatiri lemas selepas hilang ketika mandi di Pantai Batu Buruk, di sini hari ini.
Pegawai Pengurusan Operasi dan Balai Bahagian Operasi Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat Negeri Terengganu Baharum Muhamad Hasim berkata Sithu Moe Lwin, 18, ialah pelajar Kolej INTI International University cawangan Nilai, Negeri Sembilan.
Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.19 tengah hari yang memaklumkan terdapat kejadian lemas melibatkan empat remaja di Pantai Batu Buruk.
"Empat pelajar termasuk dua lelaki dan dua perempuan datang ke lokasi kejadian untuk mandi-manda. Tiga daripada mereka warga asing manakala seorang pelajar tempatan.
"Tiga daripadanya berjaya diselamatkan manakala seorang lagi belum ditemui," katanya ketika dihubungi hari ini.
Yusmizan berkata ketika ini pihak bomba masih menjalankan kerja-kerja mencari dan menyelamat (SAR).
Katanya orang ramai juga dinasihati supaya mengelak aktiviti air memandangkan cuaca tidak menentu dan Monsun Timur Laut (MTL) belum berakhir.