Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Pelajar KV Keningau Terpilih Wakili Malaysia Jalani Latihan Bola Sepak Di Boston

Pelajar KV Keningau
Kredit: Dr Sirhajwan Idek

Pelajar KV Keningau Terpilih Wakili Malaysia Jalani Latihan Bola Sepak Di Boston

Seorang pelajar Kolej Vokasional (KV) Keningau, Marq Jayson Michael, 18, telah terpilih mewakili Malaysia dalam program Sports Visitor di Boston, Amerika Syarikat (AS).

Marq bersama tiga lagi pelajar dari negara ini mendapat tajaan penuh kerajaan AS bagi latihan yang berlangsung dari 10 hingga 25 Julai.

Selain daripada delegasi Malaysia, terdapat enam lagi negara yang terpilih menyertai program ini iaitu Jerman, Colombia, Turkmenistan, Hong Kong dan Kenya.

Guru KV Keningau, Dr Sirhajwan Idek berkata, Marq terpilih menerusi proses pemilihan yang diadakan di sekolah berkenaan selepas Kedutaan AS di Kuala Lumpur memilih KV Keningau untuk menghantar seorang wakil ke negara itu.

Segala perbelanjaan sepanjang program tersebut ditanggung sepenuhnya oleh Jabatan Negara AS.

"KV Keningau terpilih atas reputasi cemerlang dalam sukan dan bidang lain seperti Bahasa Inggeris, akademik dan projek komuniti.

"Marq merupakan seorang pelajar seni kulinari di kolej tersebut yang aktif bermain bola sepak.

"Program selama dua minggu tersebut yang berpusat di Boston University terdiri daripada kuliah dan kelas berkaitan dengan sukan, latihan dan perlawanan bola sepak dan bola tampar serta kunjungan ke tempat-tempat tertentu untuk mendalami budaya negara itu sambil mempelajari topik-topik tertentu," katanya.

Menurutnya lagi, program ini merupakan sebahagian daripada kempen Freedom 250 iaitu perayaan tahun ke 250 sejak pembentukan negara AS.

Sementara itu, Marq berkata dia berasa sangat bertuah terpilih untuk menyertai program ini.

Tambahan pula, dia bukan sahaja mewakili Malaysia malah negeri Sabah dan kolej vokasional di bawah kendalian Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknik dan Vokasional (BPLTV) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Marq dijangka akan tiba di Malaysia pada 27 Julai 2026.

Dalam pada itu, Pengarah KV Keningau, Lumang anak Lang, menzahirkan rasa bangga atas pencapaian tersebut.

Menurut beliau, kejayaan itu membuktikan bahawa pelajar kolej vokasional mampu melangkah jauh hingga ke peringkat antarabangsa.

Ia juga menunjukkan bahawa pendidikan kolej vokasional mampu melengkapkan pelajar dengan ilmu dan kemahiran yang diperlukan untuk menghadapi dunia luar.

Intipati
  • Marq Jayson Michael terpilih mewakili Malaysia menyertai program Sports Visitor di Boston, Amerika Syarikat.
  • Program dua minggu itu merangkumi kuliah sukan, latihan bola sepak, bola tampar dan lawatan budaya.
  • Pengarah KV Keningau menyifatkan pencapaian Marq membuktikan kemampuan pelajar vokasional ke peringkat antarabangsa.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan