Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Pelajar Maahad Tahfiz Al-Fateh Tamat Syahadah Ula, Pengiktirafan Tertinggi Hafazan Al-Quran
Seorang pelajar Maahad Tahfiz Al-Fateh, Haryz Irfan Wan Azrizul Azad, berjaya menamatkan Syahadah Ula, pengiktirafan tertinggi dalam hafazan al-Quran di institusi tahfiz berkenaan.
Menerusi hantaran rasmi di akaun TikTok Maahad Tahfiz Al-Fateh, saudara Haryz dilihat tidak dapat menahan emosi dan bersyukur atas kejayaan berkenaan.
Lebih-lebih dia menjadi pelajar ke-12 yang menamatkan hafazan itu sekali gus menutup lembaran manis 2025, ditemani ibu bapa dan keluarga di sisi.

Menurut Maahad Tahfiz Al-Fateh, saudara Hafyz memperoleh keputusan penuh Jayyid Jiddan dengan markah 93.28 peratus.
“Alhamdulillah penantian dan usaha sejak jam 4.30 pagi telah berakhir pada jam 10.20 malam tadi!
“Saudara Haryz Irfan bin Wan Azrizul Azad kini berjaya menamatkan Syahadah Ula, kejayaan baru buat diri & hadiah buat ibu bapa serta gurunya,” kongsi hantaran itu.
Difahamkan, pelajar Tingkatan Empat itu telah melalui proses hafazan secara berperingkat dan berdisiplin sejak peringkat awal pengajian.
Meskipun sedang mengikuti Program Fast Track SPM, cintanya terhadap kalam Allah itu tidak berpenghujung, dengan tetap menghadiri kelas hafazan.

Menurut perkongsian Madrasah Tahfiz Al-Quran Sidi Ibrahim Ar-Rashid di Facebook, Syahadah memiliki tiga peringkat.
Peringkat tertinggi merupakan Syahadah Ula atau juga boleh dikenali dengan Syahadah Ulya.
Untuk mencapai peringkat ini, pelajar perlu melalui dua peringkat terdahulu, iaitu Syahadah Thaniah dan Syahadah Thalisa.
Pada peringkat Syahadah Thaniah, pelajar perlu menghafaz sebanyak 15 juzuk al-Quran dalam tempoh satu hari.
Sementara itu, pelajar perlu khatam al-Quran dalam tempoh tiga hari, dengan sasaran 10 juzuk sehari bagi Syahadah Thalisa, yang merupakan peringkat terendah.
Jika pelajar berjaya melepasi salah satu daripada tiga tahap ini, barulah mereka layak dianugerahkan Syahadah Hafazan al-Quran.
Namun begitu, untuk melengkapkan ketiga-tiga peringkat ini bukanlah satu tugas yang mudah.
Hal ini kerana disiplin tinggi serta bimbingan rapi daripada guru al-Quran penting bagi memastikan hafazan yang dipelajari boleh meresap ke dalam jiwa pelajar.