Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Kata orang Malaysia ini syurga makanan kerana mempunyai pelbagai jenis hidangan daripada pelbagai kaum yang menjadi tarikan bukan sahaja kepada rakyat tempatan, malah pelancong luar negara.
Antara hidangan yang sering mencuri tumpuan ialah nasi lemak, roti canai, laksa, teh tarik dan banyak lagi.
Menariknya, jika makanan-makanan itu dijual di luar negara sekali pun, ia tetap akan dibeli oleh orang ramai dan kebiasaannya akan habis dijual.
Baru-baru ini, seorang pelajar Malaysia berkongsi suasana ketika dia berniaga makanan Malaysia di festival musim panas, Sommerfest di Dortmund, Jerman.
Menerusi video di TikTok miliknya, @raaj_10__ menunjukkan reaksi pengunjung yang mencuba nasi lemak dan aiskrim Malaysia.
Kebanyakan dari mereka suka dengan rasa nasi lemak dan aiskrim tersebut.
Bahkan ada seorang wanita yang berkata ingin berpindah ke Malaysia selepas merasai nasi lemak itu.
Menurut Raaj, semua aiskrim dan 100 bekas nasi lemak habis terjual di festival yang diadakan selama satu hari itu.

Raaj juga mendapat pujian warga maya kerana memperagakan baju Melayu ketika menjual makanan-makanan tersebut, selain giat mempromosikan keunikan kaum dan budaya di Malaysia kepada pengunjung di situ.
"Aiskrim yang kami buat dan habis terjual, begitu juga dengan 100 pek nasi lemak. Ia kurang daripada yang kami jangkakan tetapi sentiasa ada ruang untuk penambahbaikan.
"Rakyat Malaysia pertama yang melakukan ini dalam sejarah Dortmund," katanya di hujung video.
Ketika ditemu bual SK, Raaj berkata dia sudah berada di sana selama tiga tahun dan hidangan yang dijual merupakan hasil dari kerja berpasukan.
"Ada pasukan saya yang bantu juga untuk masak dan sediakan makanan," katanya.
Menjengah ke ruangan komen video itu, ramai yang memuji lelaki tersebut kerana memakai baju Melayu dan menjual makanan Malaysia.
"Lelaki Malaysia, bila pakai baju Melayu, auto segak hensem teruk"
"Try bagi makan sate pula..mesti ngam"
"Buat Raya day..mesti lagi meriah..ada kuih raya dalam balang.."
"Wau segak betul dengan baju Melayu"
"Respect. Tumpang bangga tengok awak perkenalkan negara kita melalui makanan, pakaian dan keramahan"