Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Pelajar Tahfiz Maut, Kereta Bertembung Lori Sawit
KUANTAN, 14 Dis (Bernama) — Seorang pelajar tahfiz maut selepas kenderaan dipandunya bertembung dengan sebuah lori muatan sawit di KM60 Jalan Pekan-Rompin dekat Kampung Merchong, semalam.
Ketua Polis Daerah Pekan Supt Mohd Zaidi Mat Zin berkata dalam kemalangan kira-kira 11 malam itu, Muhammad Fakhri Waqiuddin Basri, 22, yang beralamat di Indera Mahkota di sini meninggal dunia di lokasi kejadian.
Beliau berkata siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Pekan menghala ke Rompin, manakala lori dipandu lelaki berusia 28 tahun dari bertentangan.
Mohd Zaidi berkata mayat pelajar itu telah dibawa ke Hospital Pekan untuk bedah siasat, manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang memaklumkan lima anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Nenasi, terlibat dalam operasi menggeluarkan mangsa yang tersepit sebelum petugas Kementerian Kesihatan kemudiannya mengesahkan kematian pelajar berkenaan.
Difahamkan, Muhammad Fakhri Waqiuddin sedang mengikuti Program Syahadah Al-Quran di Maahad Tahfiz Negeri Pahang.
Sumber: BERNAMA