Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Pelakon Korea Selatan Lee Yong Joo Meninggal Dunia Pada Usia 44 Tahun

YONG
Pelakon Korea Selatan, Lee Yong Joo

Pelakon Korea Selatan, Lee Yong Joo yang dikenali menerusi beberapa drama dan sitkom popular termasuk The Blue Tower, Rude Miss Young Ae dan Princess Hours, dilaporkan meninggal dunia pada usia 44 tahun.

Menurut laporan media Korea, Lee Yong Joo meninggal dunia pada 29 Ogos selepas dilaporkan mengalami serangan jantung.

Berita pemergian pelakon itu turut mengundang rasa terkejut dalam kalangan rakan serta kenalan industri hiburan Korea Selatan yang mengenang keperibadian dan lakonannya sepanjang berada dalam industri berkenaan.

Memetik laporan The Chosun Daily, sumber terdekat Lee berkongsi berita pemergiannya menerusi media sosial.

“Walaupun ketika menulis ini, saya masih tidak percaya. Pelakon Lee Yong Joo, yang membuatkan ramai ketawa sebagai watak ‘rekrut baharu Lee Yong Joo’ yang kekok tetapi disenangi dalam Blue Tower, meninggal dunia secara mengejut akibat serangan jantung pagi ini,” menurut kenyataan itu.

Sumber berkenaan turut berkata, berita pemergian Lee masih belum disebarkan secara meluas di luar keluarga dan kenalan rapat.

Katanya, telefon bimbit milik pelakon itu dilindungi kata laluan, manakala keluarganya juga masih berdepan kesukaran menguruskan keadaan berikutan pemergian berkenaan berlaku pada hujung minggu.

Dalam pada itu, Lee sebelum ini pernah berkongsi mengenai keadaan kesihatannya yang menyebabkan beliau tidak menjalani khidmat ketenteraan.

Dalam satu temu bual pada 2013 berkaitan The Blue Tower, Lee menjelaskan beliau tidak mempunyai pengalaman menjalani latihan ketenteraan selepas dikecualikan daripada perkhidmatan berikutan diagnosis hypertrophic cardiomyopathy ketika pemeriksaan fizikal.

Lee turut menyentuh perkara sama ketika muncul dalam saluran YouTube Head of Student Discipline Lee Jong-hyuk pada Februari lalu dengan berkata, “Saya ada masalah dengan jantung.”

Bagaimanapun, setakat ini tiada pengesahan bahawa keadaan kesihatan yang pernah dikongsikan itu mempunyai kaitan secara langsung dengan punca kematiannya.

Lee Yong Joo meninggalkan kenangan menerusi pelbagai watak lakonannya, khususnya sebagai rekrut baharu dalam The Blue Tower yang membantu mengukuhkan namanya dalam industri hiburan Korea Selatan.

Intipati
  • Lee Yong Joo dilaporkan meninggal dunia pada 29 Ogos pada usia 44 tahun.
  • Laporan media Korea menyebut pelakon itu meninggal dunia selepas dilaporkan mengalami serangan jantung.
  • Lee pernah berkongsi masalah jantung, namun tiada pengesahan kaitan langsung dengan kematiannya.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan