“Korang, terutama yang berada di sekitar JB, cadangkan playground mana yang patut team kita pergi cuci. Lagi berlumut, lagi kita suka!”
Demikian perkongsian seorang pengguna Threads, @homehabitgroup, yang mencuri perhatian warganet apabila menawarkan untuk membersihkan taman permainan yang dipenuhi lumut di sekitar Johor Bahru (JB).
Menurutnya, pihak mereka sudah membersihkan kebanyakan taman permainan berlumut di sekitar kawasan berkenaan, namun masih mengalu-alukan cadangan orang ramai sekiranya terdapat lokasi yang terlepas pandang.
Ujarnya, walaupun ada yang menganggap aktiviti itu sekadar kandungan untuk media sosial, mereka tetap melakukannya dengan bersungguh-sungguh sehingga kawasan yang dibersihkan kelihatan lebih bersih dan berkilat.
“Walaupun ramai cakap content, kita tetap buat content pun all out. Memang berkilat sebab kita yakin produk yang kita guna bukan scam,” katanya.
Perkongsian itu ternyata mendapat sambutan positif apabila ramai pengguna Threads memuji usaha berkenaan, malah ada yang menyifatkan video proses mencuci tersebut cukup memuaskan untuk ditonton.
Menjengah ke ruangan komen, seorang pengguna, @didiyanaehsan, berkata, “Woww, puas hati tengok.”
Sementara itu, @_baemai turut meninggalkan komen penuh doa dan gurauan buat pasukan berkenaan.
“Kak, semoga trafik light sentiasa hijau, kalau nak masuk lorong orang bagi jalan, kalau tengah beratur dipercepatkan dan kalau pergi masjid selipar tak kena curi,” katanya.
Tidak ketinggalan, @ss_bbrna berkata kandungan sedemikian wajar dikongsikan lebih banyak kerana bukan sahaja membantu tujuan pemasaran, malah memberikan kepuasan kepada penonton.
“Post video macam ini banyak-banyak sebab selain untuk pemasaran, sangat memuaskan untuk ditonton! Hehe,” katanya.
Dalam pada itu, seorang lagi pengguna, @azhmhzan, pula menyifatkan bunyi dan proses cucian tersebut seakan-akan kandungan ASMR.
“Dah macam ASMR dah gaya dia,” katanya.
Jelasnya, usaha seperti ini bukan sahaja menghasilkan kandungan yang menarik, malah memberi manfaat kepada komuniti apabila kemudahan awam yang digunakan orang ramai dibersihkan dan dijaga dengan lebih baik.

