Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Pembalut Plastik Atau Kerajang Aluminium, Mana Lebih Baik Untuk Simpan Makanan?

pembalut
Kredit: southernliving

Ramai yang menggunakan pembalut plastik dan kerajang aluminium untuk membungkus lebihan makanan, daging serta sayur sayuran sebelum menyimpannya di dalam peti sejuk.

Namun, tahukah anda bahawa kedua dua bahan tersebut mempunyai fungsi berbeza dan tidak semestinya sesuai digunakan untuk tujuan yang sama?

Memetik laporan Southern Living, dua cef dari Amerika Syarikat berkongsi pandangan mengenai penggunaan pembalut plastik dan kerajang aluminium, termasuk bahan yang lebih sesuai untuk memastikan makanan kekal segar.

Kredit: southernliving

Pembalut Plastik Lebih Sesuai Untuk Penyimpanan Makanan

Menurut cef eksekutif Encore Resort at Reunion di Florida, Sean Marzan, pembalut plastik lebih sesuai digunakan untuk membungkus makanan yang akan disimpan di dalam peti sejuk atau peti sejuk beku.

Katanya, pembalut plastik mampu menghasilkan lapisan kedap udara yang lebih rapat berbanding kerajang aluminium.

Keadaan itu membantu mengurangkan pendedahan makanan kepada udara yang boleh menyebabkan makanan menjadi kering, kehilangan kualiti dan lebih cepat rosak.

Pandangan sama turut dikongsi cef eksekutif The Vandy di Texas, Yia Medina, yang menyifatkan pembalut plastik lebih mudah digunakan untuk mengawal pendedahan makanan kepada udara dan mengekalkan kelembapan.

Menurutnya, cara sesuatu bahan makanan dikendalikan dan disimpan juga memainkan peranan penting dalam mengekalkan kualitinya.

Marzan menjelaskan bahawa pembalut plastik sememangnya menjadi pilihan utama dalam penyimpanan makanan di kebanyakan dapur profesional.

Bahan itu lazim digunakan untuk membungkus bahan mentah, makanan yang telah disediakan, sos, daging serta sayur sayuran bagi membantu mengekalkan kualiti dan memanjangkan tempoh penyimpanan.

Bila Kerajang Aluminium Lebih Sesuai Digunakan?

Walaupun pembalut plastik lebih sesuai untuk penyimpanan makanan, kerajang aluminium tetap mempunyai kegunaan tersendiri di dapur.

Marzan berkata, kerajang aluminium lebih banyak digunakan untuk proses memasak, memanaskan semula makanan dan mengekalkan suhu makanan yang telah dimasak.

Jelasnya, bahan tersebut mampu menahan haba serta melindungi makanan sepanjang proses memasak, tetapi tidak menghasilkan lapisan kedap udara serapat pembalut plastik.

Medina turut menjelaskan bahawa beliau lebih memilih pembalut plastik untuk sayur sayuran segar, bahan makanan yang mudah rosak serta bahan yang perlu dilindungi daripada pendedahan udara.

Sebaliknya, kerajang aluminium menjadi pilihannya untuk memanggang, memanaskan semula makanan atau menyimpan makanan yang telah dimasak buat sementara waktu.

Beliau turut mengingatkan supaya kerajang aluminium tidak bersentuhan secara langsung dengan bahan makanan berasid kerana keadaan itu boleh mempengaruhi rasanya.

Boleh Gunakan Kedua Duanya Secara Bersama

Menariknya, pembalut plastik dan kerajang aluminium juga boleh digunakan secara bersama untuk tujuan tertentu.

Menurut Marzan, amalan menggunakan kedua dua bahan tersebut sering dilakukan di dapur profesional, khususnya ketika menyediakan makanan yang perlu mengekalkan kelembapan sepanjang proses memasak.

Katanya, pembalut plastik sahaja mampu menghasilkan lapisan kedap yang baik, tetapi tidak direka untuk terdedah secara langsung kepada suhu tinggi.

Dalam pada itu, kerajang aluminium mampu menahan haba, namun tidak menghasilkan lapisan kedap yang cukup rapat untuk memerangkap kelembapan dengan berkesan jika digunakan bersendirian.

Oleh itu, kedua dua bahan tersebut boleh digunakan bersama mengikut teknik tertentu.

Marzan menjelaskan, antara kaedah yang digunakan di dapur profesional ialah menutup bekas makanan dengan pembalut plastik terlebih dahulu sebelum melapisinya dengan kerajang aluminium.

Menurutnya, pembalut plastik membantu mengekalkan kelembapan, manakala kerajang aluminium bertindak sebagai lapisan pelindung ketika proses memasak.

Tip Menyimpan Makanan Dengan Betul

Selain memilih bahan yang sesuai, cara membungkus makanan juga penting bagi mengurangkan pendedahan kepada udara dan pemeluwapan.

Marzan menyarankan supaya pembalut plastik dililit dengan kemas sehingga menyentuh permukaan makanan apabila sesuai, atau bekas makanan ditutup serapat mungkin.

Katanya, semakin sedikit udara yang terperangkap di dalam bungkusan, semakin baik kualiti makanan dapat dikekalkan.

Bagi penggunaan kerajang aluminium pula, Medina menyarankan supaya bahagian tepinya dilipat dengan kemas.

Jika perlu, makanan juga boleh disimpan di dalam bekas kedap udara sebagai perlindungan tambahan.

Marzan turut mencadangkan supaya makanan dibungkus menggunakan pembalut plastik terlebih dahulu sebelum dilapisi kerajang aluminium bagi mendapatkan perlindungan tambahan.

Medina menegaskan bahawa penyimpanan bahan makanan dengan betul merupakan sebahagian daripada proses memasak dan bukan perkara yang boleh dipandang ringan.

Menurutnya, penjagaan bahan makanan pada setiap peringkat penting bagi memastikan kualiti hidangan dapat dikekalkan.

Intipati
  • Pembalut plastik lebih sesuai untuk penyimpanan kerana menghasilkan lapisan kedap udara lebih rapat.
  • Kerajang aluminium lebih sesuai digunakan ketika memasak, memanaskan semula dan mengekalkan suhu makanan.
  • Kedua-dua bahan boleh digabungkan bagi mengekalkan kelembapan dan melindungi makanan semasa memasak.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan