Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Pemilik Proton e.MAS Bakal Nikmati Kadar Pengecasan Berdiskaun Di Seluruh Negara

Kadar pengecasan berdiskaun
Kredit: Portal Rasmi Proton e.MAS

Pemilik kenderaan elektrik (EV) Proton e.MAS bakal menikmati kadar pengecasan berdiskaun di stesen terpilih di seluruh negara menerusi kerjasama strategik PROTON New Energy Technology Sdn Bhd (PRO-NET) dengan tiga pengendali pengecasan utama, DC Handal, JomCharge dan chargEV.

Kerjasama itu menyaksikan pengenalan stesen pengecasan berjenama e.MAS di lokasi awam terpilih, sekali gus memperluas akses kepada kemudahan pengecasan dan memberikan nilai tambah kepada pemilik e.MAS.

Bakal nikmati kadar pengecasan berdiskaun

Menerusi inisiatif berkenaan, pemilik e.MAS yang membuat bayaran pengecasan menggunakan aplikasi Proton e.MAS akan menikmati kadar berdiskaun di stesen pengecasan yang mengambil bahagian.

Pelancaran stesen pengecasan berjenama e.MAS itu dijadual bermula pada suku ketiga tahun ini, dengan pelaksanaan awal di sebuah destinasi popular sebelum diperluas ke lokasi strategik lain di seluruh negara.

PRO-NET berkata inisiatif berkenaan akan memberi tumpuan kepada lokasi awam berkepadatan tinggi yang menjadi tumpuan pengguna, termasuk tempat yang kerap dikunjungi dan menjadi persinggahan pemilik EV.

Menerusi kerjasama itu, PRO-NET bersama DC Handal, JomCharge dan chargEV akan melaksanakan usaha penjenamaan serta pemasaran di kemudahan pengecasan yang mengambil bahagian, selain menyokong peluasan infrastruktur pengecasan EV di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Zhang Qiang, berkata akses kepada kemudahan pengecasan yang mudah dan meluas semakin penting apabila lebih ramai rakyat Malaysia beralih kepada mobiliti elektrik.

“Melalui kerjasama dengan CPO terkemuka, kami mahu menjadikan pengalaman pengecasan lebih bermanfaat kepada pemilik e.MAS selain memberikan mereka akses lebih luas di lokasi utama.

“Kerjasama ini menggabungkan kekuatan PRO-NET, rakan pengecasan dan ekosistem digital e.MAS bagi menyokong pelanggan ketika penggunaan EV terus berkembang di Malaysia,” katanya.

Pada masa ini, lebih 4,700 titik pengecasan yang meliputi lebih 90 peratus kawasan di Malaysia boleh diakses menerusi aplikasi Proton e.MAS, selain ciri Integrated Live Charging Map yang tersedia dalam kenderaan e.MAS.

Menurut PRO-NET, kerjasama terbaharu itu merupakan langkah seterusnya dalam memperluas ekosistem pengecasan e.MAS, khususnya dengan membawa pengalaman pengecasan berjenama itu lebih dekat kepada pengguna di lokasi awam.

Pada masa sama, PRO-NET akan menyokong CPO yang mengambil bahagian dalam peluasan infrastruktur pengecasan, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada pengguna EV untuk mendapatkan kemudahan pengecasan yang mudah dan dipercayai.

Ketua Pengecasan PRO-NET, Ahmad Munif Halim, berkata integrasi akses pengecasan dengan aplikasi Proton e.MAS dapat menjadikan proses pengecasan lebih mudah dan berbaloi kepada pemilik e.MAS.

“Dengan bekerjasama dengan CPO yang mempunyai pengalaman dan rangkaian sokongan sedia ada, kami dapat menjadikan pengecasan lebih mudah diakses, selain memberikan pelanggan bantuan apabila diperlukan,” katanya.

PRO-NET berkata kadar pengecasan dan butiran pelaksanaan bagi setiap lokasi akan dipersetujui secara bersama dengan CPO yang terbabit.

Kerjasama itu turut menyokong agenda kerajaan dalam memperkukuh ekosistem EV tempatan melalui peningkatan penyertaan vendor dan pemain industri Malaysia dalam pembangunan infrastruktur pengecasan.

PRO-NET berkata syarikat akan terus bekerjasama dengan CPO serta pemain industri tempatan bagi memperluas akses kepada kemudahan pengecasan EV yang mudah dan boleh dipercayai, selain memberikan nilai lebih baik kepada pemilik Proton e.MAS.

Intipati
  • Pemilik Proton e.MAS bakal menikmati kadar pengecasan berdiskaun di stesen terpilih seluruh negara.
  • PRO-NET bekerjasama dengan DC Handal, JomCharge dan chargEV bagi memperluas akses pengecasan EV.
  • Stesen pengecasan berjenama e.MAS dijadual bermula suku ketiga di lokasi awam terpilih.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan